SIAPA sangka pertemuan yang tidak dirancang beberapa tahun lalu di platform inkubator perniagaan sosial, Gagasan ET, empat remaja berwawasan tinggi akhirnya memenangi The Diana Award for Young Changemakers 2019 baru-baru ini.

Anugerah itu ditawarkan oleh British Charity iaitu anugerah berprestij yang diberikan kepada belia di seluruh dunia untuk mengiktiraf usaha kemanusiaan dan sosial bagi mengenali pemimpin muda yang cemerlang, berpandangan jauh serta boleh dijadikan idola golongan muda seluruh dunia.

Semuanya bermula apabila empat remaja itu mendapati mereka mempunyai aspirasi yang sama, ingin menggalakkan remaja khususnya pelajar dari pelbagai latar belakang percayakan potensi diri, meningkatkan prestasi akademik dan jati diri.

Remaja yang mempunyai impian besar itu kemudiannya menubuhkan Ascendance pada 2015 yang dianggotai diketuai Mathura Kanan, 22, sebagai ketua pegawai eksekutif, Heerraa Ravindran, 20, (ketua pegawai operasi), Sanadthkumar Ganesan, 19, dan Harsha Ravindran, 17.

Heerraa yang merupakan bekas pelajar Sekolah Antarabangsa Nilai (NIS) berkata, mereka tidak menyangka dapat memenangi anugerah itu.

"Tahun ini, panel The Diana Award for Young Changemakers menerima beratus pencalonan dari seluruh dunia dan hanya kami yang mewakili Malaysia.

"Kami menerima pengiktirafan ini disebabkan apa yang kami buat pencetus perubahan dalam komuniti, ia sebuah penghargaan yand tidak bernilai bagi usaha kami membina dan membimbing golongan muda di negara ini," katanya.

Inisiatif salah seorang rakan kongsi korporat mencalonkan Ascendance untuk anugerah itu.

"Kemenangan ini menunjukkan ramai yang tahu bahawa usaha kami memberi kesan kepada pelajar dan ia menyuntik semangat kami untuk terus bekerja," katanya.

Tambahnya, program Ace It Easy yang mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) banyak merealisasikan wawasan mereka untuk membimbing pelajar.

Ascendance

 

"Program Ace It Easy di sembilan sekolah menengah di Selangor tahun lalu, meliputi aktiviti membina keyakinan, motivasi dan perkongsian yang diadakan secara santai.

Katanya, kelompok sasaran Ascendance ialah pelajar yang berusia 10 hingga 17 tahun.

"Kami pernah seperti mereka, tetapi kami bernasib baik kerana diberi peluang dan kami menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan. Kami percaya jika kita boleh melakukannya, remaja atau pelajar lain juga boleh," katanya.

Menurut Heera, program yang mereka anjurkan seperti ceramah motivasi, bicara kerjaya, perkongsian kisah inspirasi dan pelbagai lagi adalah percuma kerana ditaja oleh syarikat swasta yang menjadi rakan strategik.

"Kami berharap dengan cara ini, kita dapat membantu membina masa hadapan pelajar melalui sumber, bimbingan dan platform agar mereka mencapai kejayaan secara holistik dan mampu memberi sumbangan demi kesejahteraan masyarakat.

"Kami juga mengalu-alukan kerjasama dengan agensi luar supaya kerja sosial ini dalam dilakukan di lebih banyak sekolah di seluruh negara," katanya.

Versi terbaik

Sementara itu, bekas pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Damansara Utama (3) yang juga Ketua Pegawai Korporat Ascendance, Sanadthkumar berkata, mereka amat menggalakkan pelajar menjadi pemimpin dalam komuniti dan membantu orang lain.

"Kami mahu mereka suka belajar dan mencapai keputusan yang baik di samping melakukan apa yang mereka mahu.

"Kami mahu melahirkan generasi muda versi terbaik, membantu mereka mewujudkan kerjaya sendiri dan mempunyai semangat untuk menjadi lebih baik dalam apa juga bidang," katanya.

Kumpulan pelatih dan pembantu Ascendance ketika menjalankan 'Ace it Easy'.

Bekas pelajar NIS yang merupakan Ketua Pegawai Pemasaran Ascendance, Harsha berkata, selama empat tahun Ascendance ditubuhkan, mereka telah menemui lebih 1,000 pelajar.

"Ramai pelajar mempunyai potensi yang tinggi dan idea kreatif namun mungkin tiada peluang menggunakan bakat mereka sebaiknya.

"Kami berperanan menyakinkan pelajar walaupun berada di kelas hujung mereka juga mampu untuk berjaya. Kami biasanya menemui pelajar yang kurang cemerlang. Tidak kira anda berada di kelas pertama atau hujung sebenarnya masing-masing ada laluan untuk cemerlang," katanya.

Katanya, pelajar akan mudah menerima jika mendengar perkongsian daripada mereka yang jarak usia lebih kurang sama.

Ascendance ketika mengadakan aktiviti 'Ace it Easy' di SMK Serendah.

INFO

The Diana Award adalah sebuah anugerah antarabangsa yang diuruskan Jawatankuasa dan Panel The Diana Award for Social Change Makers dari United Kingdom.

Anugerah ini diberi kepada golongan muda yang memberi impak kepada komuniti mereka.

Anugerah tersebut diberi atas kenangan  Puteri Diana of Wales.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-20 bagi The Diana Award for Social Change Makers.

 

Boleh juga dapatkan dalam akhbar Sinar Harian hari ini.

Artikel Menarik:

Jangan tekan anak keterlaluan dalam pelajaran - Permaisuri

'Banyak kelebihan jika kita tahu lebih bahasa ini' - Pengetua SMK Tunku Abdul Aziz

Tip beli baju sekolah anak... khas untuk ibu bapa anak sulung tahun satu 2020