SHAH ALAM - Tiga inovasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama mencipta sejarah apabila menggondol dua pingat emas dan satu pingat perak di Japan Design, Idea and Invention Expo 2019 di Tokyo, baru-baru ini.

Inovasi yang berjaya meraih pingat itu adalah Anti Larva dan Anti Mikrobial of Piper Sarmentosum Extraction (Anlartosum) (emas); My Comp (emas) dan Antiseptic Herbal Kit (perak) serta satu Anugerah Khas dari Norton University, Kingdom of Cambodia.

Ketua delegasi bagi kontinjen SUTAMA Edu Adventures Tokyo Japan, SMK Saujana Utama, Cikgu Siti Maslinda Syed Musa berkata, kejayaan yang diraih pada pertandingan di Tokyo amat manis dan membanggakan seluruh warga sekolah.

Tiga pingat yang berjaya diraih oleh pasukan inovasi SMK Saujana Utama.

“Hasil usaha yang berterusan dan semangat yang tidak pernah luntur, akhirnya SUTAMA Edu Adventures Team berjaya membawa pulang emas dan perak serta anugerah khas sekali gus mengharumkan nama Malaysia di mata dunia,” kata Siti Maslinda  yang juga Guru Kanan Mata Pelajaran (Sains dan Matematik).

Beliau yang turut mengajar Biologi berkata, walaupun SMK Saujana Utama sekolah harian biasa di luar bandar, tetapi itu bukanlah halangan untuk sekolah tersebut menempa kejayaan hingga ke peringkat antarabangsa.

“Insya-ALLAH, produk inovasi yang telah menang akan dikomersialkan.Kami mengalu-alukan pihak luar sama ada swasta, institusi atau individu untuk membantu dari segi kewangan, nasihat, cadangan dan sokongan," katanya.

Harapan beliau, menerusi langkah pengkomersialan hasil ciptaan tersebut, dapat diterapkan elemen keusahawanan dalam kalangan pelajar dan seterusnya dapat memperkasakan produk inovasi sekolah.

Katanya lagi, pihak sekolah sangat berterima kasih kepada Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) yang bernaung di bawah World Invention Intellectual Property Association (WIIPA) atas jemputan ke pertandingan berkenaan.

Pasukan Antiseptic Herbal Kit membuat penerangan produk inovasi mereka kepada murid di Laurus International School Of Science, Tokyo.

SMK Saujana Utama menghantar 11 pelajar terdiri daripada Tingkatan Satu hingga Lima dengan tiga guru pengiring diketuai Cikgu Siti Maslinda; guru Reka Bentuk dan Teknologi,Cikgu Hamidah Mukhtar dan guru bahasa Inggeris, Tanty Sharum ke Tokyo.

Turut mengiringi rombongan SMK Saujana Utama ialah pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkap Penasihat Kelab Inovasi, Dr. Amir Syahir Amir Hamzah.

Kata Cikgu Siti Maslinda, semua kos perbelanjaan kontinjen ke Tokyo adalah sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), koperasi sekolah dan persendirian.

Kontinjen SUTAMA Edu Adventures Tokyo Japan, SMK Saujana Utama ke Tokyo (dari kiri) Siti Maslinda, Dr. Amir Syahir, Hamidah (belakang, dua kanan) dan Tanty (kanan).

"Japan Design, Idea & Invention Expo 2019 di Tokyo berlangsung 15 Jun hingga 17 Jun di Tokyo Bay Ariake Washington Hotel, Tokyo, Jepun.

"Berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang, pertandingan bertujuan memberi peluang kepada pelajar mempamer dan membentangkan projek inovasi Sains mereka di arena antarabangsa," katanya.

Menurut beliau, penyertaan SMK Saujana Utama dalam Japan Design, Idea and Invention Expo 2019 juga membuka peluang kepada pelajar menambah pengetahuan melalui perkongsian idea dan menjadi pemangkin dalam mempertingkatkan minat berinovasi.

Cikgu Siti Maslinda mengakui peluang ke Tokyo, Jepun ini dapat meluaskan ilmu STEM, merapatkan jaringan dan jalinan dengan generasi muda dari serantau dunia melalui perkongsian pendapat serta lawatan penanda aras ke sekolah terpilih di Tokyo.

Pertandingan tersebut disertai lebih 250 sekolah dan universiti luar negara bagi 15 buah negara antaranya Taiwan, Poland, Indonesia, Arab Saudi, Thailand, Hong Kong, Kanada, China, Macau dan Amerika Syarikat.

Masing-masing menyerlahkan kehebatan dan keistimewaan menerusi inovasi yang dipertandingkan.

Sementara itu, Pengetua SMK Saujana Utama, Noor Hayati Embong turut melahirkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian pasukan inovasi di Tokyo, Jepun.

“Segala kerja keras ini amat berbaloi. Kerja berpasukan guru inovasi, pelajar, guru, PIBG dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor serta sokongan ibu bapa menjadikan usaha untuk mencapai kejayaan dapat direalisasikan,” ujarnya.

Inovasi julang nama negara

Anlartosum adalah produk utama yang dibangunkan dalam inovasi SMK Saujana Utama mulai tahun 2014.

Bersandarkan isu global; demam denggi yang semakin berleluasa, inovasi tersebut dihasilkan melalui kolaborasi dengan Jabatan Biokimia UPM yang diketuai Dr. Amir Syahir dalam memantapkan dan mengesahkan secara saintifik hasil kajian produk anti larva daripada pengekstrakan tumbuh-tumbuhan herba yang diperoleh di sekolah.

Ketua pasukan, Almas Nadhirah Ahmad Fahmi Yahya berkata, kajian dijalankan di makmal sains sekolah dengan menggunakan radas dan bahan di makmal tersebut yang akhirnya menunjukkan kesan positif.

“Untuk pengesahan, kami telah menghantar sampel ke makmal Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, UPM.

“Kaedah yang kami gunakan di makmal sekolah telah diperakui dan kajian yang lebih saintifik serta sistematik telah dijalankan di makmal UPM mengesahkan ekstrak herba tersebut adalah positif anti jentik-jentik,” kata pelajar Tingkatan Empat ini.

Hamidah bersama pasukan My Comp memegang Jalur Gemilang ketika dinobat pemenang pingat emas di Japan Design, Idea and Invention Expo 2019.

Katanya, keputusan hasil penilaian dari UPM itu amat menggembirakan kumpulannya yang telah bertungkus lumus selama ini.

Inovasi My Comp pula berupa produk robotik berkesinambungan dari inovasi Remote Control Bag yang dijalankan pada 2017.

Bertitik tolak dari isu beg sekolah yang berat, tulang belakang membengkok akibat beban beg sekolah dan sebagainya, telah memberi idea kepada kumpulan robotik yang diketuai Ameer Hafizin Ayub menghasilkan satu produk yang dapat membantu menangani masalah tersebut.

Tambahan pula, di SMK Saujana Utama terdapat beberapa pelajar yang mengalami masalah tulang belakang yang agak serius.

“MyComp adalah satu alat yang membantu membawa beban di atas troli. Troli tersebut mempunyai penggera yang dapat mengesan pergerakan tuan troli dan seterusnya mengikut pergerakan tuan troli dalam jarak dua meter.

"Jika terdapat halangan atau troli tidak dapat dikesan, maka penggera pada tuan troli akan berbunyi untuk memberi makluman bahawa troli tersebut tidak hilang atau tercicir,” kata pelajar Tingkatan Tiga ini.

Mereka mendapat tunjuk ajar daripada wakil Syarikat Hexabit Sdn Bhd, Sallehuddin Abdul Latif merangkap YDP PIBG SK Saujana Utama.

Antiseptic Herbal Kit pula merupakan produk herba berupa semua dalam satu yang amat sesuai digunakan semasa perkhemahan mahupun sebagai kit rawatan awal.

Pasukan Anlartosum menerangkan produk inovasi kepada salah seorang juri Japan Design, Idea and Invention Expo 2019. 

Ketua projeknya, Harish Damodaran Nair, Antiseptic Herbal Kit dihasilkan daripada campuran ekstrak daun pokok kapal terbang atau nama saintifiknya Chromolaena Odorata yang diperoleh dari Taman Alam Kuala Selangor.

"Projek ini yang dilaksanakan sejak 2017 turut mendapat bimbingan Dr. Amir Syahir dan menggunakan pokok yang ditanam sekitar sekolah sebagai bahan utama.

“Cabaran utama kami adalah masa kerana pada waktu persekolahan setiap pelajar mesti mengikuti PdPC kelas masing-masing. Begitu juga guru pembimbing terikat tugas hakiki mengajar mengikut ketetapan jadual waktu," katanya.

Kata pelajar Tingkatan Lima ini, disebabkan minat yang mendalam dalam penyelidikan dan pembangunan, dia dan tiga lagi ahli kumpulan mengorbankan masa hujung minggu untuk meneruskan kajian hingga mendapat hasil yang diinginkan.

Pasukan Antiseptic Herbal Kit ketika sesi penjurian.

REAKSI

1) “Segala kejayaan ini tentunya tidak boleh dicapai tanpa sokongan dan usaha yang diberikan pihak sekolah, ibu bapa, UPM dan semestinya ahli-ahli yang dikasihi."

- Almas Nadhirah

(Ketua Pasukan Anlartosum)

Pelajar Tingkatan Empat

2) “Tak sangka kami dapat pingat emas. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan kata-kata semangat."

- Ameer Hafizin Ayub

(Ketua Pasukan My Comp)

Pelajar Tingkatan Tiga

3) “Kerjasama ahli pasukan membuatkan kami beroleh kejayaan luar jangkaan."

- Deepika Damodaran Nair

(Ahli Pasukan Antiseptic Herbal Kit)

Pelajar Tingkatan Tiga

INFO

Kontinjen SUTAMA Edu Adventures Tokyo Japan, SMK Saujana Utama ke Tokyo  

1) Pasukan Guru Inovasi (Hanya tiga wakil ke sana)

- Siti Maslinda (wakil)

- Normahizan Ahmad

- Hamidah (wakil)

- Habibah Jusoh

- Tanty (wakil)

- Siti Mariam Che Omar

- Norelmeza Marjonid

- Mariam Ahmad

 

2) Pasukan Anlartosum

- Almas Nadhirah Ahmad Fahmi Yahya (Ketua)

- Ruzayqah Mohd Ghazali

- Wan Nurliyana Balqis Zuraimi

 

3) Pasukan My Comp  

- Ameer Hafizin Ayub (Ketua)

- Ghazi Anwar B Ahmad Razif

- Khalish Hanan Wendlandt

- Ambreen Thurayya Ahmad Fahmi Yahya

 

4) Pasukan Antiseptic Herbal Kit

- Harish Damodaran Nair (Ketua)

- Adam Syukran Mohd Azahari

- Deepika Damodaran Nair

- Kavipriya A/p Balasupramaniam

 Guru dan pelajar SMK Saujana Utama yang berjaya membawa nama sekolah ke peringkat antarabangsa.

Siti Maslinda (kiri), Dr. Amir Syahir (berdiri, dua dari kiri) dan Hamidah (kanan) bersama pasukan inovasi SMK Saujana Utama meraikan kejayaan setelah berjaya mendapat dua emas dan satu perak pada Japan Design, Idea and Invention Expo 2019.

Siti Maslinda menyampaikan cenderamata daripada pihak sekolah kepada wakil Laurus International School Of Science.

ARTIKEL MENARIK:

Pesanan khas untuk ibu bapa menjelang peperiksaan UPSR

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi

UPSR dah dekat - Ini kami kongsi 10 tip skor A Sains UPSR

Nota poket Matematik Cikgu Shahril bantu murid skor A UPSR

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi