SABAK BERNAM - Seramai 10 Pengakap Remaja (PR) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar menerima anugerah khas pada Majlis Hari Anugerah Kokurikulum, Kepimpinan dan Homeroom (HAKKIM) 2018 di sekolah itu.

Pemimpin kumpulan pengakapnya, Wan Abdul Hakim Wan Zakaria berkata, anugerah itu bagi menghargai pelajar yang memberikan komitmen serta berjaya menaikkan nama sekolah dalam kokurikulum apabila mereka disahkan lulus ujian penarafan pengakap raja.

Menurutnya, pada majlis itu, penyampaian anugerah khas disempurnakan Pengetua MRSM Sungai Besar, Nazrul Hisham Mohamad Tahir.

"Lebih manis lagi apabila 10 ahli pengakap turut dianugerahkan Rambu Pengakap Raja," katanya.

Wan Abdul memberitahu, istiadat pemakaian Rambu Pengakap Raja dilakukan Pesuruhjaya Pengakap Daerah Sungai Besar, Jamali Jaruti.