SHAH ALAM - Tiga buah kelab Sekolah Kebangsaan (SK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas, Negeri Sembilan berkolaborasi untuk menyertai lawatan sambil belajar ke Kumpulan Media Karangkraf, baru-baru ini.

Kira-kira 40 murid Tahap Dua dari Kelab Kerjaya, Kelab Pusat Sumber Sekolah dan Kelab Rukun Negara mengikuti lawatan tersebut dengan diiringi empat guru pembimbing.

Penyelaras program, Cikgu Azean Othman berkata, objektif lawatan untuk mengenali lebih dekat kerjaya dan produk yang diterbitkan Karangkraf.

“Apabila kita umum di sekolah untuk lawat Karangkraf, ramai yang berminat.

“Rata-rata murid ingin tahu keistimewaan Karangkraf dan bagaimana ia boleh berjaya hingga menjadi syarikat penerbitan ulung di negara ini,” katanya.

Cikgu Azean

Cikgu Azean yang juga guru Kaunselor berkata, lawatan hampir tiga jam itu memberi satu pengalaman hebat buat murid-muridnya.

“Mereka gembira dan seronok berada di sini. Dapat jumpa editor, wartawan, jurukamera dan sebagainya.

“Insya-ALLAH, jika ada peluang, anak-anak murid saya mahu bekerja di sini kelak,” jelasnya.

Murid-murid Tahap Dua menerima buku akademik setiap seorang kerana berjaya menjawab kuiz yang dikemukakan Wartawan Kanan GPS Bestari, Sarina Mohd Som.

Empat guru pembimbing yang turut serta dalam lawatan, dari kiri Noraini Mokmin, Safarina Arshad, Zuraina Ahmad dan Azean.