Kerajaan perlu meningkatkan pemantauan di institusi pendidikan termasuklah sekolah di seluruh negara bagi memastikan sesi persekolahan di zon hijau dapat diteruskan seperti biasa dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Memetik laporan Sinar Harian pada Ahad, Pensyarah Fakulti Pen­didikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, pemantauan itu perlu supaya Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mengulangi tin­da­kan penutupan sekolah seluruh negara yang akan menjejaskan pembelajaran mur­id terutama daripada keluarga B40.

"Bagi sekolah yang berada di zon merah, mereka perlu mengambil kira situasi mengikut setiap sekolah satu persatu. Kalau sekolah itu ada kes, kita perlu tutup terus.

“Ini sebab ada sekolah di kawasan merah tidak mempunyai kes penularan, maka tiada ke­perluan untuk ditutup,” ujarnya.

Pensyarah Fakulti Pen­didikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.

Beliau berkata, penutupan keseluruhan sekolah di dalam negara bakal memban­tut­kan kembali pem­belajaran majoriti pelajar yang tergendala hampir setahun sebelum ini akibat Covid-19.

“Kesan penutupan sekolah amat dirasai kebanyakan murid terutamanya mereka yang berada di pedalaman ataupun anak orang miskin yang tidak memiliki kemudahan inter­net dan komputer.

"Sehubungan itu, penutupan se­kolah bukan pilihan uta­ma ketika ini kerana tidak semua insti­tusi pendidikan bera­da di kawasan beri­siko tinggi kes penularan Covid-19," katanya lagi.

Pada Februari lalu, Ketua Pengarah Pelajaran ketika itu, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim mendedahkan 1.85 juta atau 37 peratus daripada lima juta pelajar di seluruh negara tidak mempunyai peranti Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).  

Dalam pada itu, Anuar turut yakin ramai ibu bapa bersetuju dengan tindakan KPM yang tidak menutup kesemua sekolah dengan mengambil kira beberapa faktor tertentu.

Menurutnya, ibu bapa bim­bang keselamatan dan keadaan anak mereka yang tinggal di rumah ketika mereka keluar bekerja sekali gus menjejaskan fokus terhadap tuntutan kerja.

“Selain itu, penutupan sekolah juga pastinya menjejaskan waktu ibu bapa yang perlu memenuhi tuntutan kerjaya.

"Oleh itu, KPM disaran supaya lebih proaktif mengemaskini perkembangan baharu kes penularan Covid-19 yang berlaku di kawasan sekolah dengan mengambil tindakan segera dalam menangani perkara tersebut," kata beliau.

Ahmad Zamri Sulong (kiri) dan Zamri Awang Hitam (kanan).

Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mahu supaya ibu bapa bekerjasama dengan pihak sekolah dalam mematuhi SOP dan bersikap jujur dalam menangani kes jangkitan Covid-19.

Yang Dipertua (YDP) PIBG Sekolah Ke­bangsaan Gong Tok Na­sek, Terengganu, Zamri Awang Hitam berkata, selain guru-guru yang berperanan memastikan SOP dijaga, ibu bapa juga perlu memainkan peranan besar dalam hal berkenaan.

"Sebagai contoh, jika ada kes positif di tempat kerja ibu bapa, bagi saya tidak perlulah menghantar anak-anak ke sekolah.

“Ajak anak-anak kuarantin bersama di rumah masing-masing dalam tempoh ditetapkan. Ibu bapa perlu jujur dan jangan se­sekali penting kan diri sendiri, kasihanilah anak-anak yang lain,” katanya.        

Perkara sama turut dipersetujui YDP PIBG Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan Chendering, Terengganu, Ah­mad Zamri Sulong yang berpendapat  ibu bapa tidak seharusnya lepas ta­ngan dalam menangani penularan jangkitan Covid-19.

Katanya, ibu bapa perlu men­ggalas tanggungjawab bersama-sama dengan pihak sekolah bagi memastikan  pematuhan SOP terus berjaya dalam apa jua keadaan sekalipun.

"Berhubung isu penutupan sekolah, saya berpendapat bagi negeri yang tidak berisiko dan berada di bawah zon hijau, sesi persekolahan boleh berjalan seperti biasa dengan mematuhi SOP yang ditetapkan KKM.

“Pihak sekolah perlu memandang serius usaha memastikan SOP di sekolah dipatuhi murid-murid seperti yang sedang dilakukan hari ini iaitu setiap pagi suhu murid-murid diperiksa sebelum dibenarkan memulakan sesi pembelajaran bersama rakan-rakan.

“Selain itu guru-guru perlu sentiasa cakna memastikan pergerakan murid-murid di dalam kawasan sekolah dan di dalam kelas dihadkan seperti diprak­tikkan hari ini di se­mua sekolah,” ka­ta beliau.

Artikel menarik

Pelajar MRSM raih 9A+ dalam SPM 2019, kongsi tip sebagai panduan kejayaan

'Terima kasih cikgu' - Ucapan ringkas tukang kebun sekolah buat ramai warganet rasa sebak!