Perasan gugup adalah satu emosi cemas atau gementar yang dialami oleh seseorang apabila berdepan dengan khalayak ramai. Kebiasaannya, perasaan gugup ini sering menyerang individu yang bekerja dan para pelajar. 

Namun begitu, bagi para pelajar yang kurang berpengalaman dalam melakukan pembentangan, perkara ini boleh menjadi punca masalah terhadap kelancaran pembentangan dan ia tidak boleh diambil mudah.

Sesi pembentangan yang tidak berjalan dengan lancar akan menjadikan mereka hilang keyakinan diri ketika berdepan dengan orang ramai.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa perasaan gugup ini mampu dihilangkan sekiranya para pelajar mengetahui teknik yang betul. Di sini GPS Bestari ingin berkongsi tip-tip yang boleh dimanfaatkan oleh para pelajar apabila berdepan dengan masalah gugup ketika berdiri di hadapan umum.

Berikut antara tip mudah yang boleh diikuti:

1) Fahami topik dengan betul

Setiap topik yang ingin dibentangkan hendaklah dikuasai dengan baik agar tidak berlaku kesilapan pada hari pembentangan. Penguasaan terhadap topik yang ingin disampaikan merupakan tanggungjawab para pelajar. Tip ini adalah perkara paling utama yang harus diberi perhatian sebagai seorang pembentang yang baik. Penguasaan topik secara menyeluruh mampu membantu para pelajar melakukan pembentangan dengan lancar tanpa rasa gugup.

2) Sentiasa membuat latihan berulang kali sebelum hari pembentangan

Latihan yang berulang kali akan membantu kelancaran pelajar semasa pembentangan. Teknik ini sesuai untuk para pelajar yang sering kali gugup dan kekurangan idea semasa sesi pembentangan. Latihan yang kerap akan mengurangkan rasa gemuruh kerana topik yang ingin dibentangkan sudah dihafal dan dikuasai dengan betul.

3) Abaikan pemikiran negatif

Pelajar yang sering diserang perasaan gemuruh selalunya mempunyai pemikiran negatif. Perasaan ini sering kali membunuh keyakinan yang dimiliki individu secara perlahan-lahan. Oleh itu, seorang pembentang yang baik mestilah berfikiran secara positif. Jangan membandingkan diri sendiri dengan orang lain.

4) Tarik nafas

Sebelum memulakan pembentangan, pembentang haruslah bertenang dan bernafas dengan betul. Setelah itu, pembentang perlulah memulakan pembentangan secara perlahan-lahan dan tertib. Teknik ini adalah bagi mengawal perasaan gemuruh daripada terlihat ketara. Cara penyampaian yang laju juga mampu mengundang perasaan gemuruh seseorang. Oleh itu, pernafasan yang baik sangat penting bagi mengelakkan sesi pembentangan terganggu.

5) Berdiri dalam keadaan lurus

Teknik ini akan menampakkan anda seorang yang berkeyakinan. Pembentang harus mengurangkan pergerakan yang berlebihan kerana perbuatan ini mampu mengganggu tumpuan anda terhadap topik yang ingin disampaikan. Pergerakan yang melampau akan menampakkan anda seorang yang gugup dan tidak yakin dengan topik yang dibentangkan.

6) Sediakan nota kecil

Tip ini sangat berguna untuk para pelajar semasa pembentangan. Hal ini demikian kerana, penyediaan nota kecil akan membantu para pelajar sekiranya anda lupa mengenai bahagian-bahagian tertentu. Kebiasaannya para pelajar akan gelabah apabila situasi ini berlaku. Perasaan gelabah ini secara tidak langsung akan menimbulkan rasa gugup kerana penonton sedang memerhatikan anda. Oleh itu, penyediaan nota kecil sangat penting sebagai persediaan awal sekiranya berlaku kesilapan.

7) Motivasikan diri

Setiap orang mempunyai kelebihan tersendiri. Beritahu kepada diri sendiri bahawa anda boleh melakukan yang terbaik. Tip ini sangat penting untuk mereka yang kurang berkeyakinan apabila berdiri di khalayak.  Oleh itu, motivasi diri mampu memberi manfaat kepada minda dan cara pemikiran pelajar.

8) Tidur yang cukup

Kesilapan yang sering dilakukan pelajar adalah belajar sehingga lewat malam. Situasi ini sering berlaku apabila mereka mempunyai sesi pembentangan pada hari berikutnya. Kebiasaan ini secara tidak langsung akan membuatkan seseorang itu hilang fokus semasa pembentangan berlangsung. Oleh itu, tidur yang cukup mampu membantu seseorang pelajar, menyampaikan topik pembentangan dengan berkesan.

Berikut adalah tip untuk menjadi seorang pembentang yang baik. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Perasaan gemuruh bukanlah penghalang untuk seseorang itu terus maju sebaliknya kelemahan ini mampu dikawal sekiranya seseorang itu tahu cara mengatasinya.

Namun begitu, kunci segala masalah adalah keyakinan diri individu itu sendiri. Sebagai seorang yang berfikiran jauh, anda tidak boleh malu dalam melakukan sesuatu. Pembentang yang baik adalah mereka yang berani mengubah diri sendiri.

Oleh itu, keyakinan diri mestilah dipupuk dari hari ke hari agar seseorang itu mampu berdiri di depan khalayak tanpa perasaan rendah diri. Tip ini bukan sahaja mampu membantu mengawal perasaan gugup tetapi juga mampu mengubah hidup seseorang pelajar menjadi pembentang yang profesional dan dikagumi ramai.

Artikel menarik

Amalan pemakanan sihat semasa Ramadan, guru, ibu bapa dan pelajar boleh jadikan ini sebagai rujukan