SUBANG JAYA – TRIplc Berhad mengambil inisiatif membantu anak-anak yatim dan miskin dengan membelikan pakaian dan peralatan sekolah mereka di Mydin Mall USJ, Subang Jaya baru-baru ini.

Seramai 56 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Jalan U3, Subang Perdana menerima sumbangan daripada TRIplc Berhad sebagai persediaan memasuki sesi baharu persekolahan tahun 2018.

Program itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat TRIplc Berhad dengan peruntukan sumbangan sebanyak RM14,000 untuk membantu meringankan beban murid kurang berkemampuan di sekolah berkenaan.

Pengarah  Urusan TRIplc Berhad, Datuk Yusof Badawi berkata, setiap seorang daripada anak yatim dan miskin ini diperuntukkan sebanyak RM250 untuk membeli dua set pakaian sekolah, lengkap dengan kasut, beg dan tudung selain daripada botol air, bekas makanan dan alat tulis,” katanya.

Menurutnya, bagi melancarkan pelaksanaan program ini, seramai 40 orang sukarelawan yang terlibat terdiri daripada kakitangan TRIplc sendiri dan 10 orang guru sekolah.

Katanya lagi, program seumpama ini diharap dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh penjaga anak yatim dan miskin ini dalam menempuh alam persekolahan tahun hadapan.