SABAK BERNAM - Tiga pelajar Tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar yang mewakili negeri Selangor muncul johan kategori Inovasi Teknologi Biojisim pada Karnival Inovasi Teknologi Hijau (KITH) 2017, peringkat kebangsaan.

Guru pembimbingnya, Nor Azman Hassan berkata, pasukannya dianggotai Nur Ain Nazirah Ash’ari, 16, Chia Jun Bin, 16, dan Tan Yi Yung, 16.

Menurutnya, pasukan itu mempertaruhkan projek inovasi Endosel dan berjaya memikat perhatian juri sekali gus diumumkan sebagai johan kebangsaan kategori berkenaan.

“Inovasi Endosel adalah bateri sel kering yang dihasilkan menggunakan sumber karbon dari kelapa sawit sebagai bahan utama.

“Bateri Endosel dengan saiz D ini mempunyai keupayaan kapasiti 1.3 voltan berpotensi untuk dikembangkan kerana sumber karbonnya mudah didapati dan murah.” katanya.

Nor Azman berkata, sebanyak 16 pasukan mewakili negeri masing-masing bersaing dalam kategori tersebut.

Karnival disempurnakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Dr Maximus Ongkili itu dijalankan di Malaysia Green Technology Centre (MGTC) Bangi manakala majlis penutupan karnival berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre.