SHAH ALAM - Seramai 227 asnaf fakir dan miskin serta 150 mualaf menerima sumbangan Aidilfitri RM500 seorang yang disampaikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini, semalam.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada tujuh syarikat berjumlah RM10,349,925.

Tujuh syarikat itu membabitkan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) diwakili Pengerusinya, Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal yang mendahului senarai dengan jumlah zakat RM4,752,421.

Ia diikuti Menteri Besar Incorporated (MBI) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Shahreen Raja Othman sebanyak RM1,328,629 dan KAF Investment Bank diwakili Pengerusi KAF Seagroatt & Campbell Securities Sdn Bhd, Datuk Ahmad Kadis berjumlah RM1,082,000.

Antara golongan sasar yang hadir pada majlis berkenaan menerima sumbangan hari raya yang disampaikan Sultan Sharafuddin, semalam.

 

Sime Darby Property Berhad yang diwakili Pengerusinya, Tan Sri Datuk Abdul Ghani Othman dan Seriemas Development Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Salem Kailany masing-masing menyerahkan zakat perniagaannya sebanyak RM1,000,000.

Sementara itu, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad yang diwakili Pengerusinya, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin, menyerahkan zakat untuk dirinya dan anak syarikat berjumlah RM686,861.13 dan Jakel Trading Sdn Bhd yang mewakilkan Pengarah Urusannya, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel, menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM500,014.25.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan ramai lagi.

Baginda turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih bersama tetamu yang hadir sebelum beredar.

Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada penerima.