SHAH ALAM - Seramai tujuh murid Sekolah Rendah Islam Integrasi Puncak Jalil meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan  Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2019, yang diumumkan, semalam.

Mereka ialah Sarah Ahmad Nainy (8A); Airish Lia Zara Ahmad Zaki (7A); Ardini Mohd Khairi (6A); Khaira Sofea Mohd Zaki (6A); Putra Aiman Hazieq Hairulnizam (6A); Rania Veia Abdullah (6A) dan Rifqi Adam Razif Adli (6A).

Guru Besar, Ustazah Zaiton Rashid berkata, tahun ini seramai 19 calon yang menduduki UPKK di sekolah itu.

"Daripada jumlah itu, seramai tujuh murid memperoleh keputusan cemerlang 8A, 7A dan 6A sementara 12 orang lagi memperoleh 5A, 4A dan 3A.

"Ini adalah pencapaian terbaik setakat ini," katanya kepada GPS Bestari.

Sebanyak lapan subjek telah diambil oleh calon UPKK iaitu Amali Solat, Penghayatan Cara Hidup Islam, Bidang al-Quran, Ulum Syariah, Pelajaran Jawi dan Khat, Sirah, Adab dan Lughatul Quran.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sekolah, Sheikh Mohd Zaki Sheikh Abdul Rahman berkata, antara rahsia kejayaan sekolah adalah komitmen semua pihak.

"Komitmen dan kesungguhan yang tinggi daripada murid-murid dan tenaga pengajar seperti melakukan persediaan awal peperiksaan, mengadakan kelas intensif tambahan dan latihan menjawab soalan adalah antara rahsia kejayaan kami.

"Insya Allah, untuk tahun hadapan, sudah ada beberapa pelan strategi terbaik telah dirangka untuk murid-murid UPKK. Antaranya, kelas jadual anjal harian, kelas tuisyen intensif mingguan, bengkel menjawab soalan dan kelas Pengukuhan al-Quran," katanya.

Tambah beliau, bermula tahun ini dan seterusnya, Sekolah Rendah Islam Integrasi Puncak Jalil turut mengambil inisiatif mengadakan program silang budaya dan kepakaran bersama beberapa sekolah swasta Islam dalam dan luar negara seperti di England dan sebagainya.

Dalam perkembangan lain, Ustazah Zaiton menyasarkan seramai 15 murid memperoleh 8A dalam UPKK 2020 nanti.

"Untuk calon UPKK 2020, berusahalah sebaik mungkin bukan sahaja di dalam peperiksaan, malah dalam mengamalkan akhlak mulia dan mengasah kemahiran dalam pelbagai lapangan demi membentuk Insan Rabbani dan Syumul," katanya.

Ibu bapa turut hadir mengambil keputusan UPKK anak di sekolah.

Sheikh Mohd Zaki (dua kiri) bersama dua murid cemerlang UPKK 2019 iaitu Sarah (tiga kanan) dan Airish Lia Zara (dua kanan). Turut serta, Ustaz Mohd Faruqi Ibrahim (kiri) dan Ustazah Nurain Bashirah Othman (kanan).