Setiap ibu bapa pastinya mengharapkan kejayaan anak-anak mereka khususnya dalam bidang pendidikan. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk memenuhi keperluan pendidikan anak-anak asalkan mereka tidak tercicir dalam pelajaran.

Di samping mengikuti pembelajaran harian di sekolah, ada antara ibu bapa yang mengambil inisiatif sendiri dengan menghantar anak mereka ke pusat tuisyen.

Pun begitu, ada juga yang memanggil tutor datang ke rumah untuk mengajar anak-anak ini berkaitan topik dan mata pelajaran tertentu.

Menerusi Program Bual Bestari bertajuk Tutor Di Rumah: Perlu atau Tidak? baru-baru ini, Cikgu Azarul Mokhtar, 40, telah berkongsi pengalamannya sebagai tutor di rumah sejak berkecimpung dalam bidang ini bermula 12 tahun lalu.

Ditanya mengenai keberkesanan belajar dengan khidmat tutor di rumah dengan pusat tuisyen, Cikgu Azarul menjelaskan, ia adalah bergantung kepada keupayaan seseorang pelajar itu sendiri dalam menguasai topik mata pelajaran.

“Di pusat tuisyen misalnya belajar dalam kumpulan yang agak besar dan kita tak boleh harapkan guru terlibat akan beri tumpuan sepenuhnya kepada seorang pelajar sahaja, namun bagi mereka yang jenis cepat belajar dan mudah faham ia tidak mendatangkan masalah buat mereka.

“Berbanding pula belajar secara individu dengan guru di rumah di mana dalam situasi ini, kami lebih memahami masalah pelajar itu sendiri dan cuba untuk bantu mereka sehingga berjaya menguasai sesuatu topik diajari,” katanya.

Cikgu Azarul yang sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pendidikan Matematik berkata, sebaiknya kriteria tutor yang dipilih mestilah mereka yang memiliki pengalaman luas dalam bidang pendidikan.

“Bagi saya sesiapa yang sahaja boleh menjadi mereka yang ada memiliki Ijazah, Sarjana mahupun PhD tetapi ia berbeza dengan tutor yang memiliki kelayakan dalam bidang perguruan dan ada asas ilmu pendidikan (pedagogi) itu sendiri.

“Tutor dalam kalangan guru ini mereka lebih tahu dan faham keperluan pendidikan semasa selain memahami kaedah terbaik untuk tarik minat pelajar memahami topik subjek itu berdasarkan pengalaman dimiliki. Apapun bagi saya pokoknya ia bergantung kepada ibu bapa, sekiranya mereka rasa selesa dengan tutor dipilih, terpulanglah,” katanya.

Menyentuh mengenai persepsi bahawa hanya golongan atasan sahaja yang mampu untuk memanggil tutor ke rumah, Cikgu Azarul tidak menafikan perkara itu, malah katanya ia bergantung kepada kemampuan ibu bapa itu sendiri.

“Bagi saya seiring menuju pendidikan abad ke-21, saya rasa golongan berpendapatan pertengahan telah berfikir jauh untuk memastikan anak-anak mereka lebih maju dalam bidang akademik.

“Sebagai tutor, saya tidak terlalu menekankan kepada jumlah bayaran semata-mata, biarlah ia bersesuaian dengan pengalaman yang saya ada selain keadaan semasa termasuk kos seperti pengangkutan dan bahan pembelajaran yang perlu disediakan,” katanya.