DENGKIL - Dalam usaha memberi kesedaran kepada warga kampus tentang kepentingan mematuhi undang-undang dan keselamatan jalan raya, Unit Polis Bantuan dan Unit Korporat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil telah menjayakan Kempen Kesedaran Undang-Undang Jalan Raya di Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil, baru-baru ini.

Pengarah Pusat Asasi UiTM, Profesor Dr Saifollah Abdullah, berkata kempen yang dijalankan selama 9 hari itu mendapat sambutan baik daripada semua warga kampus malah turut disokong dan mendapat kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

"Kempen ini bukan sahaja dijalankan di kampus, malah secara virtual melalui hebahan video dan poster di media sosial rasmi Pusat Asasi UiTM sejak hari pertama kempen berlangsung.

"Aktiviti ini telah dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti yang disarankan kerajaan dan mendapat sambutan hangat dalam kalangan semua staf akademik dan juga pentadbiran," katanya pada majlis penutup kempen berkenaan.

Turut hadir ialah Ketua Balai Bomba Cyberjaya, Mohd Shafizol Mohamad; Pengarah KAS Engineering, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Ketua Unit Keselamatan Kenderaan Penumpang MIROS, Ts Yahaya Ahmad.

Antara aktiviti kemuncak yang dijalankan bagi kempen itu adalah Cabaran Orienteering yang telah melibatkan wakil daripada setiap unit dan jabatan di UiTM Dengkil untuk melengkapkan beberapa tugasan yang menguji pengetahuan mereka mengenai undang-undang dan keselamatan jalan raya.

Selain itu, forum keselamatan jalan raya turut berjaya diadakan, menampilkan Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Supt Dr Bakri Zainal Abidin dan  Pegawai Penyelidik Kanan MIROS, Dr Rizati Hamidun sebagai panel manakala Timbalan Pendaftar Kanan UiTM, Armyn Fahmi Mohd Fahmy pula berperanan sebagai moderator.

Forum yang membahaskan topik “Dilema Pengguna Jalan Raya: Tak Tahu atau Pura Pura Tak Tahu? itu memberi peluang kepada pihak panel berkongsi pelbagai fakta dan ilmu dalam keselamatan jalan raya selain statistik berkenaan kemalangan yang berlaku di negara kita.

Lebih menarik lagi, forum ini turut disiarkan secara langsung melalui saluran youtube rasmi Pusat Asasi UiTM Dengkil.

Dr Saifollah berkata, walaupun berada dalam keadaan pandemik dan perintah kawalan pergerakan, adalah diharapkan supaya warga Pusat Asasi UiTM khususnya dan orang awam amnya akan sentiasa mematuhi undang-undang dan mementingkan keselamatan jalan raya walau di mana mereka berada.

Artikel menarik

'Dia tiba-tiba menangis bila saya tanya kenapa tak siapkan kerja sekolah' - Ustazah Mawaddah

'Syafiqah, maafkan cikgu. Andai waktu boleh diputar... - Cikgu Koreayati luah kekesalan