Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Pusat Citra Universiti, buat julung kalinya menandatangani memorandum perjanjian secara serentak dengan 16 institusi rakan industri bagi menjayakan pembelajaran berasaskan kerja.

Dr Mohd Hamdi (dua dari kanan), bersama Dr Harlina ( kanan ), Datuk Seri Abdul Wahid (tiga, kanan), dan Ir Mohd Marzuki Mustafa ( kiri) ketika Majlis Menandatangani Dokumen Perjanjian Persefahaman (MoA) Pembelajaran Berasaskan Kerja.

Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, UKM amat mengalu-alukan penglibatan secara terus dan berterusan dari pihak industri, baik dalam kalangan organisasi swasta, agensi kerajaan, syarikat perusahaan kecil dan sederhana, mahupun pertubuhan bukan kerajaan dan organisasi.

“UKM menyedari dan bertanggungjawab dalam memastikan kebolehpasaran graduan UKM sentiasa tinggi lebih-lebih lagi dalam situasi Pasca Covid-19 yang menyaksikan peningkatan kadar pengangguran dalam negara,”katanya ketika berucap di Majlis Menandatangani Dokumen Perjanjian Persefahaman (MoA) Pembelajaran Berasaskan Kerja di UKM baru-baru ini.

Beliau berkata, UKM telah bersedia lebih awal dengan menawarkan kursus yang pelbagai dan memenuhi kehendak pasaran kerja.

Salah satunya adalah menerusi penawaran program pendidikan Citra bagi meningkatkan kemahiran insaniah pelajar UKM melalui Pusat Citra Universiti.

Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr Mohd Hamdi Abd Shukor

“Pusat Citra turut menawarkan Program Sarjana Muda Sains (SmSc )Citra Mod Pengajian 2u2i yang disertai oleh 16 rakan industri.

“Program tersebut juga turut memberi pilihan kepada pelajar untuk memilih dua atau tiga bidang pengkhususan, yang dapat meningkatkan daya saing dalam pasaran pekerjaan,”katanya.

Antara rakan industri yang terlibat adalah Brahim’s SATS Food Services, Kumpulan Maybank Berhad, Mesiniaga Berhad, Trans Eco Development Sdn Bhd, Wasiyyah Shoppe Berhad, Hadis Solution Group, dan Leet Ventures.

Pengarah Pusat Citra Universiti, Prof Datuk Dr Harlina Halizah Siraj

Katanya lagi, kerjasama tersebut diharap dapat memastikan pertukaran ilmu dan kepakaran seterusnya memenuhi keperluan negara melalui keterlibatan berteraskan pengetahuan merentasi penyelidikan, pendidikan dan khidmat.

Sementara itu, Pengarah Pusat Citra Universiti, Prof Datuk Dr Harlina Halizah Siraj berkata, program terbaharu tersebut mengambil pendekatan pendidikan futuristik yang menggunakan kaedah pembelajaran yang diperibadikan, fleksibel, dinamik, boleh lentur dan organik.

Sesi menandatangani perjanjian persefahaman

Ia juga mengambil kira keupayaan, minat dan bakat pelajar untuk dididik menjadi graduan yang holistik, serta bersedia bekerja di dalam bidang industri berkaitan.

“Struktur kurikulum empat tahun untuk program SmSC ini mengambil pendekatan 2u2i, dua tahun di universiti dan dua tahun di industri, atau 3u1i, tiga tahun di universiti dan setahun di industri.

“Kaedah ini membuka peluang keemasan kepada rakan industri untuk turut sama memberikan sumbangan perkongsian ilmu dan pengalaman bagi membantu pelajar prasiswazah membangunkan kapasiti serta kebolehan mereka,”katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof Datuk Ir Mohd Marzuki Mustafa.

Simbolik penyerahan oleh Dr Mohd Hamdi (kanan) kepada Pengarah Eksekutif Atfal Jannah, Dr Azlina @ Roszy Mohamad Ghaffar

Pusat Citra Universiti turut berhasrat memperkukuhkan lagi kerjasama dengan rakan-rakan strategik melalui pelantikan profesor adjung dan ahli panel penasihat untuk program SmSc.

Terkini, bermula Oktober depan, dua pelajar SmSC Tahun Dua, kohort pertama yang memilih 2u2i telahpun mendapat tempat untuk memulakan pembelajaran berasaskan kerja di Maybank dan juga SIRIM.  

16 Rakan industri

1.Brahim’s SATS Food Services

2.Kumpulan Maybank Berhad

3. Mesiniaga Berhad

4.Trans Eco Development Sdn Bhd

5.Wasiyyah Shoppe Berhad

6.Hadis Solution Group

7. Leet Ventures

8.Atfal Jannah Sdn Bhd

9.ARBA Travel & Tours Sdn Bhd

10.DD Animation Studio

11.DFZ Talent Ignite

12. IPAY88 Malaysia

13.NLPM Centre

14. Training Cube International

15.ARBA International Waqf ( Labuan ) Foundation

16. MyHarapan Youth Trust Foundation

Foto: UKM