SERDANG - Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatatkan pencapaian membanggakan apabila membuat lonjakan sebanyak 28 anak tangga dalam Times Higher Education (THE) Emerging Economies Rankings 2021 yang diumumkan pada 9 Mac lalu melalui laman web rasmi THE World University Rankings.

Penarafan itu meletakkan UPM berada di tangga ke-78 universiti terbaik berbanding ranking ke-106 tahun lepas.

Pencapaian itu sekali gus meletakkan UPM dalam kelompok 100 terbaik bersama dua lagi universiti tempatan iaitu Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) daripada keseluruhan 606 universiti antarabangsa yang tersenarai.

Menurut kenyataan UPM, penilaian ranking itu dilakukan menggunakan lima kriteria utama yang di dalamnya mempunyai 13 indikator sama yang digunakan dalam penilaian THE World University Rankings.

"Lima kriteria utama itu adalah pengajaran (30%), penyelidikan (30%), sitasi (20%), pandangan antarabangsa (10%) dan pendapatan industri (10%).

"Kekuatan UPM terletak pada kriteria pandangan antarabangsa apabila disenaraikan pada tangga ke-23 terbaik antara universiti yang tersenarai dan ranking ke-2 Malaysia selepas UM," katanya.

THE Emerging Economies Rankings yang telah diperkenalkan sejak tahun 2014 itu mengambil kira dan menilai institusi pengajian tinggi (IPT) di 48 negara yang ditakrifkan oleh London Stock Exchange’s FTSE Group sebagai negara membangun atau sedang membangun.

Artikel menarik

Skor A+ Biologi SPM 2020. Penerangan Cikgu Nor Asila ini buat ramai pelajar mudah faham dan ingat!

Contoh Rancangan Pengajaran Harian yang boleh cikgu jadikan rujukan, mudah dan ringkas