SHAH ALAM - Rombongan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Merchu, Kuala Kangsar, Perak begitu teruja apabila diperkenalkan dengan portal pendidikan GPSBestari.com, baru-baru ini.

Sesi perkenalan portal yang dikendalikan Wartawan Kanan GPSBestari.com, Sarina Mohd Som di Kumpulan Media Karangkraf telah menarik minat 38 pelajar yang terdiri daripada Pembimbing Rakan Sebaya dan empat guru pengiring.

Guru pengiring merangkap Guru Cemerlang Bimbingan Kaunseling, Mohd Zaid Abu Othman berkata, portal pendidikan GPSBestari.com membuka peluang kepada warga sekolah, untuk berkongsi program yang dianjurkan.

“Ini kali pertama kami dengar tentang GPS Bestari.com. Pengisian yang disediakan sangat menarik..insya-Allah kami akan berkongsi bahan berita dengan portal tersebut,” katanya ketika ditemu bual.

Terdahulu, peserta lawatan SMK Bukit Merchu telah mengadakan lawatan kajian lapangan ke Kumpulan Media Karangkraf untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai proses percetakan buku dan akhbar.

Empat guru yang turut serta pada sesi lawatan (dari kiri) Nurul Khalsom Omar, Jamaliah Awang  Ludin, Mohd Zaid dan Rauzan Mat.

Empat pelajar yang berjaya menjawab kuiz GPS Bestari.com, (dari kiri) Nuraina Afifah Awang @ Kamarudin, Nursufia Atira Kareno, Muhammad Haziq Imran Mohd Khairuddin dan Muhammad Idham Mohd Zaini.