Kerjaya seorang guru merupakan profesion yang memerlukan ciri-ciri profesional seperti mendidik, mengajar, membimbing, melatih, mengarah dan menilai seseorang murid itu dengan penuh kasih sayang dan penuh keikhlasan dalam diri seorang guru.

Guru hebat ialah guru yang mempunyai roh guru serta mempunyai keupayaan menggabungkan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang tinggi, sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab, khususnya dalam bidang pengajaran.

Pengajaran guru hebat berfungsi dalam menghasilkan pembelajaran bermakna (meaningful learning). Pembelajaran bermakna merupakan proses yang dapat dikaitkan dengan informasi baharu pada konsep-konsep relevan yang terdapat dalam struktur kognitif seseorang.

Tip ingin menjadi guru hebat:

1) Niat

Niat sangat penting. Sewaktu melakukan apa-apa pekerjaan, lebih-lebih lagi seorang guru, kita perlulah memulakan langkah pertama dengan menetapkan niat yang baik. Hal ini penting kerana niat yang baik akan melonjakkan naluri dan jiwa kita untuk melaksanakan tanggungjawab secara rela dan sempurna seiring dengan kemampuan yang ada serta rasa bangsa sebagai seorang guru yang bergelar guru.

“Jika seorang guru bekerja pada setiap hari dengan niat hanya untuk mendapatkan gaji pada hujung bulan, maka nikmat yang diperolehnya berdasarkan niat sahaja sedangkan nikmat hasil pekerjaannya mungkin tidak dapat dikecapi”.

2) Bersikap profesional

Profesional bermaksud seseorang guru yang mempunyai pengetahuan yang luas tentang kandungan ilmu yang dikuasainya dan berpengetahuan tentang pedagogi. Pelaksanaan tugas secara profesional bermaksud mengamalkan ilmu-ilmu pedagogi yang diperoleh semasa latihan perguruan, berdisiplin, menepati masa, beretika dan mempunyai sifat-sifat terpuji yang lain.

Setiap pergerakan, amalan, tingkah laku, dan tindakan perlu dilakukan secara profesional bukan secara emosi semata-mata. Seseorang guru itu juga perlu memiliki kompetensi tertentu berdasarkan tuntutan profesion keguruan.

3) Sabar dan tenang

Kebanyakan orang mengatakan bahawa kerjaya guru adalah kerjaya yang mudah. Namun dalam dunia realiti profesion perguruan, terdapat pelbagai kerenah murid, ibu bapa, rakan sejawat dan masyarakat yang terpaksa didepani oleh guru.

Kesabaran yang tinggi dan tenang berdepan dengan kerenah murid dan pihak-pihak lain menjadikan seorang guru mampu bertindak secara bijaksana dalam menangani sesuatu situasi yang berlaku dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah.

4) Aktif

Kerjaya sebagai guru memerlukan seseorang yang berpersonaliti aktif dalam apa-apa jua cabaran dan mampu mengendalikan sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) yang aktif serta berkesan.

PdPc yang aktif dan menarik dapat menarik minat untuk terus belajar. Sekiranya, murid tidur semasa PdPc, jangan salahkan mereka, cuba menilai semula PdPc kita. Jadi, guru mesti memiliki gaya mengajar yang membuatkan murid mampu menyerap inti pati ilmu yang disampaikan.

6) Perwatakan menarik

Perwatakan menarik bukanlah bermakna cantik atau kacak semata-mata. Cantik itu bersifat abstrak pada mata manusia. Guru yang dipandang manis dapat mencuit hati murid dan murid juga akan berasa tenang apabila melihat guru yang berada di hadapan mereka,

Kesempurnaan dari aspek perwatakan memberikan keyakinan dan lazimnya murid lebih menyukai sedemikian. Tidak salah bukan, kalau guru menerima pujian murid seperti,

“Cikgu hensemlah hari ini, Cikgu cantiklah hari ini,” sudah tentu guru terlalu sukar hendak menjawab pujian daripada murid-murid mereka. Namun kesannya, guru pasti akan lebih bersemangat untuk mengajar. Apabila guru bersemangat, murid juga akan seronok untuk belajar.

7) Bersedia menjawab pertanyaan murid

Semasa sesi PdPc, soal jawab merupakan satu aktiviti yang menjadikan kelas berada dalam keadaan yang aktif. Guru hebat perlu bersedia dengan pertanyaan-pertanyaan yang bakal dikemukakan oleh murid mereka.

Jangan sesekali mematikan semangat murid dengan ayat-ayat negatif seperti, “itu pun kamu tak tahu” atau “Cari sendiri” atau “buat tak tahu”. Jawapan-jawapan sebegini menyebabkan murid tidak akan bertanya lagi pada masa akan datang.

Sepatutnya guru memberi semangat kepada murid supaya mereka lebih rajin bertanya apabila mereka tidak tahu atau faham.

8) Penampilan berilmu dan penguasaan ilmu terkini

Guru berilmu merupakan pemangkin kepada kecemerlangan murid, sekolah, dan negara. Guru wajar berilmu kerana ilmulah yang menjadi kekuatan untuk melaksanakan ibadah sebagai seorang guru. Kelulusan sijil, diploma atau ijazah yang mengesahkan pencapaian pada peringkat pengajian tinggi wajar dijadikan sebagai pemangkin untuk berubah menjadi guru yang berketerampilan dan tidak menjadikan sijil-sijil tersebut sebagai hiasan semata-mata serta tidak membawa perubahan dalam mengolah pemikiran ketika melaksanakan tugas sebagai guru.

9) Bersedia sebelum memulakan pengajaran

Guru perlu membuat persediaan yang rapi seperti merujuk kepada buku-buku teks, menggunakan alat bantu mengajar, atau merujuk kepada sumber-sumber lain yang berkaitan untuk memantapkan lagi PdPc.

Persediaan mengajar merupakan perancangan harian yang disediakan oleh guru untuk satu waktu PdPc. Dengan adanya perancangan yang rapi, objektif PdPc dapat dicapai jika perancangan guru teliti dengan kepelbagaian strategi, kaedah, teknik, serta bahan sumber yang digunakan.

- Dr Abdul Ghani Jalil

Merupakan Guru Cemerlang Bahasa Melayu, SMK Bukit Payong, Pokok Sena, Kedah.

Artikel menarik

Faktor 'niat ponteng sekolah'. Guru-guru perlu ambil cakna akan isu ini

Landskap surau SUTAMA bagaikan dalam taman, patutlah menjadi tumpuan lawatan sekolah lain(14 gambar)