SEMALAM kerajaan negara kita telah isytihar Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula 18 hingga 31 Mac untuk mencegah penularan baharu wabak COVID-19.

Jadinya cuti penggal pertama persekolahan telah yang dijadualkan seminggu bertambah menjadi hampir tiga minggu.

Jadinya, masa cuti yang panjang ini seeloknya dimanfaatkan dengan berkesan oleh adik-adik di rumah.

Di sini kami cadangkan beberapa aktiviti cuti sekolah yang paling popular dan bermanfaat untuk adik-adik lakukan sepanjang cuti sekolah ini.

Semoga cuti sekolah ini dapat terisi dengan sebaiknya!

Gambar hiasan.

1) Menolong ibu bapa di rumah

Adik-adik yang hanya berada di rumah, boleh juga membantu ibu bapa ketika mereka keluar bekerja. Banyak kerja rumah yang boleh dilakukan seperti mencuci pakaian, menyapu sampah, memasak, melipat pakaian dan lain-lain lagi. Sekurang-kurangnya kehadiran adik-adik di rumah sepanjang cuti dapatlah juga membantu meringankan beban dan tanggungjawab ibu bapa. Masa untuk berbakti.

2) Melakukan kerja amal

Selain daripada membantu ibu bapa, adik-adik juga boleh melakukan kerja amal. Tak perlu memikirkan dan menggerakkan satu kerja amal yang baru. Cukup lah sekadar mencurahkan bakti kepada badan amal kebajikan yang adik tahu. Ajak juga rakan-rakan bagi memeriahkan lagi aktiviti. Banyak kerja amal yang boleh dilakukan seperti membersihkan kawasan masjid dan kawasan perkuburan. Sertai juga badan kebajikan yang membantu memberi makanan kepada gelandangan. Rumah orang tua juga menarik untuk dijadikan tempat untuk kerja amal.

3) Baca novel / buku ilmiah

Bagi adik-adik yang berminat dengan membaca buku, boleh juga meneruskan minat dengan membaca novel atau pun buku ilmiah. Pilihlah daripada senarai novel-novel berkualiti tinggi, supaya adik-adik dapat juga mempelajari teknik menulis yang baik. Buku ilmiah seperti ensiklopedia juga sangat bermanfaat untuk dihabiskan sepanjang cuti ini. Sekurang-kurangnya adik-adik akan dapat memperolehi ilmu pengetahuan baru yang berguna.

Gambar hiasan.

4) Ulangkaji dan persediaan tahun hadapan

Mungkin ini adalah aktiviti cadangan musim cuti sekolah yang paling akhir saya utarakan, namun ada manfaat dan juga kelebihannya. Sekalipun mungkin agak membosankan kepada adik-adik, namun persediaan untuk tahun hadapan adalah amat penting. Apatah lagi jika pada tahun hadapan, adik-adik bakal berhadapan dengan UPSR, PT3 atau pun SPM. Maka sebaiknya, ambil sedikit masa untuk merancang apa yang akan adik-adik lakukan untuk tahun hadapan.

5) Belajar ICT

Penggunaan komputer pada masa sekarang adalah amat meluas dalam kalangan anak-anak. Sekiranya itu adalah minat mereka, maka cubalah didik mereka untuk menggunakannya dengan cara yang berfaedah. Kelas seperti Grafik, Suntingan Video, bina laman web, Coding dan Membina Apps adalah perkara baru yang boleh memberi kelebihan kepada adik-adik. Mungkin dengan mengikuti kelas-kelas berikut membolehkan mereka mahir dalam menghasilkan bahan kreatif multimedia suatu hari nanti.

Gambar hiasan.

6) Kemahiran bertukang

Kemahiran bertukang juga merupakan aktiviti yang menyeronokkan. Adik-adik boleh mulakan dengan menghasilkan bahan-bahan mudah yang berguna seperti rak buku dan alat tulis. Kemudiannya dengan pengawasan daripada ibu bapa, adik-adik boleh mula menghasilkan bahan yang lebih besar, seperti bangku, reban ayam dan sangkar burung.

7) Kraf dan anyaman

Bagi adik-adik yang suka dengan kerja tangan, bolehlah mencuba menghasilkan kraf atau pun menganyam. Kraf yang dihasilkan boleh terdiri daripada bahan kertas, plastik, besi dan juga bahan buangan. Boleh rujuk di dalam internet dan bahan bacaan bagaimana menghasilkan bahan kraf yang kreatif dan cantik.

8) Belajar alat muzik

Mempelajari penggunaan alat muzik juga merupakan aktiviti yang menyeronokkan. Tambahan pula jika adik-adik merupakan penggemar muzik. Boleh layari youtube untuk mudah belajar sendiri di rumah.

Mula lah belajar dengan menggunakan teknik asas terlebih dahulu. Jika berminat, adik-adik boleh teruskan ke tahap yang lebih tinggi. Alat muzik yang dicadangkan adalah gitar, piano, biola dan seruling.

Gambar hiasan.

9) Belajar memasak

Bagi adik-adik perempuan, ini lah masa untuk belajar memasak terutamanya jika anda tinggal di asrama. Bermula lah dengan menolong ibu di dapur dengan masakan yang biasa dimasak oleh ibu. Jika berminat, teruskan lagi dengan mempelajari masakan dari buku resepi atau dari internet. Cuba juga belajar memasak jenis-jenis kek seperti kek keju, kek cawan dan sebagainya. Tentu lebih menarik kan?

10) Belajar menari

Ini juga adalah satu aktiviti yang menarik. Adik-adik boleh peruntukkan masa cuti sekolah ini dengan belajar menari. Terpulang untuk mempelajari sama ada tarian moden, atau tarian tradisional. Sekurang-kurangnya, adik-adik telah menambah satu lagi kelebihan kepada diri adik-adik. Selain daripada tarian yang disebutkan tadi, mungkin juga boleh cuba zumba, aerobik atau tarian kecergasan lain.

11) Berkebun

Berkebun memang menyeronokkan. Adik-adik boleh memilih sama ada untuk menanam pokok hiasan di sekitar rumah atau menanam sayur. Sekurang-kurangnya dapat juga sayur tadi digunakan untuk makan sendiri atau pun boleh dijual. Jika berkebun bagi tujuan untuk makan atau dijual, pilihlah daripada jenis yang cepat membesar dan memerlukan tempoh yang singkat untuk mengeluarkan hasil. Sempat juga adik-adik merasa hasilnya sebelum kembali ke sekolah.

Gambar hiasan.

12) Membantu datuk dan nenek di kampung

Jika anda sedang manfaatkan cuti sekolah di kampung datuk dan nenek, aktiviti menyeronokkan ini lebih bersifat kekeluargaan, namun ada banyak kebaikan dan manfaatnya. Bagi yang masih mempunyai datuk dan nenek di kampung, ini adalah masa terbaik bagi membolehkan adik-adik mempunyai pengalaman hidup yang berbeza. Cara hidup dan didikan di kampung dah tentu jauh beza dengan kehidupan bersama ibu bapa di bandar. Banyak yang akan diperolehi, terutamanya hal-hal dalam melayani orang tua.

Gambar hiasan.

Ini lah serba sedikit 12 cadangan aktiviti cuti sekolah yang berguna dan bermanfaat kepada adik-adik dan juga ibu bapa.

Manfaatkan cuti sekolah sebaiknya dengan sasaran mempunyai sekurang-kurangnya satu nilai tambah baru kepada adik-adik tahun hadapan.

Kepada ibu bapa juga, tak perlu manjakan anak pada musim cuti sekolah dengan hanya membiarkan mereka menonton tv, bermain games dan melayari internet sepanjang masa.

Cubalah salah satu daripada aktiviti di atas, insha-Allah anda dan anak akan perolehi sesuatu yang bermakna cuti sekolah ini!

Diolah mengikut kesesuaian. Sumber: Blog Cikgu Hailmi

Artikel lain:

Cikgu kena tahu 10 pantang larang ini bila pindah sekolah baru

'10 topik Sains wajib ulang kaji ketika ini' - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Guru ini perkenal teknik ‘ulat beluncas hijau’ bantu murid menulis karangan dengan baik

Jadilah ketua yang disukai, guru ini ada tipnya

Pengetua SMKA Naim Lilbanat kongsi tip lonjak keputusan SPM 2019 - Boleh jadi panduan sekolah lain