Selama 46 tahun berkecimpung dalam dunia bola sepak belum menampakkan seorang pencinta sukan itu Mohd Fuad Abdullah, 56, tanda-tanda untuk berehat sebaliknya terus lincah membantu mencungkil bakat-bakat muda bola sepak negeri Kedah melalui badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan yang disertainya.

Disebabkan komitmennya dalam sukan itu, anak jati Pulau Legenda Mahsuri ini pada tahun 2018 telah diberikan kepercayaan apabila memperoleh undian tertinggi daripada Ahli   Gabungan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk menjawat Ahli Jawatankuasa Eksekutif KFA sehingga tahun 2022.

Bapa kepada empat cahaya mata ini diamanahkan untuk menjaga portfolio Futsal dan Bola Sepak Pantai berdasarkan pengalamannya memartabatkan sukan itu di negeri Jelapang Padi ini.

“Sebelum ini saya telah dicalonkan dua kali untuk bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Majlis Eksekutif KFA, namun saya tolak disebabkan oleh komitmen lain. Namun untuk penggal ini saya terima selepas rasa sudah bersedia,” katanya.

Syed Saddiq (tengah) bergambar bersama pengurusan kelab bola sepak Mienso dan pemain-pemain ciliknya semasa lawatan ke Langkawi baru-baru ini.

Menurutnya, minatnya terhadap dunia bola sepak dan futsal sangat mendalam kerana telah terlibat mewakili Kedah dalam Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) sejak berusia 10 tahun lagi.

“Walaupun saya datang dari Langkawi, saya mahu buktikan bahawa di pulau ini masih ada bakat-bakat besar dalam bola sepak yang boleh diketengahkan ke peringkat negeri dan juga negara.

“Saya juga mahu membangunkan dan memperkasakan sukan bola sepak pantai yang masih dianggap baru di negara ini dan juga Kedah,” katanya.

Minat mendalam sukan bola sepak

Menceritakan latar belakangnya dalam pengurusan dan kejurulatihan, Mohd Fuad berkata ia bermula pada 1990 apabila bekas sekolahnya, Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Melaka, Langkawi memintanya melatih pasukan bola sepak sekolah itu dan tanpa disangka berjaya muncul johan peringkat Langkawi Bawah 12 tahun pada tahun tersebut.

“Bermula dari situlah saya menubuhkan Kelab Bola Sepak Mienso pada tahun 1991 di Kampung Ulu Melaka bagi memberi pendedahan kepada anak-anak Langkawi yang berbakat,” katanya.

Mohd Fuad

Dari situ Mohd Fuad kemudiannya dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Langkawi selama lebih 20 tahun, pengurus bola sepak pantai Kedah 2009 (muncul naib juara) di Kuantan dan sebagai ketua jurulatih bola sepak pantai Kedah (2011) di Sukma Kuala Lumpur.

“Saya juga kini aktif bersama The Friendship Circle iaitu kumpulan yang menghimpunkan ramai bekas pemain bola sepak negara seperti Azraai Khor Abdullah, N Kuppan, Datuk N Thanabalan, Wong Kau Foo, Serbegeth Singh, Mohamad Zakaria dan ramai lagi untuk turun ke banyak negeri berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan mengadakan program bakat cilik kepada pemain di bawah 12 tahun,” katanya.

Menurut Mohd Fuad yang pernah mewakili Kedah pada Piala Razak dan Piala Rahman pada 1979, 1980, 1981 dan 1982 dia berazam untuk terus membantu dari segi pembangunan sukan sepak, bola sepak pantai dan futsal di negeri ini melalui pelbagai platform.

Jelas datuk kepada dua cucu ini lagi pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turun ke pulau legenda baru-baru ini dan mengumumkan akan menaiktaraf padang bola sepak Mienso kepada padang sintetik telah membarakan lagi semangatnya melahirkan lebih ramai bakat di seluruh daerah tersebut.

Keluarga sentiasa memberikan sokongan kepada Mohd Fuad.

Info

Nama: Mohd Fuad Abdullah

Pendidikan: STPM

Isteri: Atifah Abdul Aziz

Anak: 4 orang

Pekerjaan:

• MARA Holding 1988-1990

• Kedah Ciment 1984

• Kedah Marble 1985

• Berniaga 1991 - sekarang

Jawatan dalam NGO:

• Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai KFA (2019 - 2022)

• Naib Presiden Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Kedah (KEFA)

• Pengasas/Pengurus Kelab Bola Sepak Mienso

Artikel menarik:

Salam Aidilfitri daripada warga SK Dato' Wan Kemara 2019

'Cuti sekolah Aidilfitri ini biarlah murid dan guru bergembira sambil berehat' - NUTP

Kerja selenggara dewan sekolah SK Pendidikan Khas Princess Elizabeth, siap Julai

JPN Perlis mahu lebih banyak sekolah sertai pertandingan video kreatif GPS Bestari-IWK (8 foto)

Tertangguh hampir dua tahun akhirnya pembinaan sekolah SJKT Changlun dapat CCC