SHAH ALAM - Ahli Kelab Dikir Barat Assudais Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 24 mahu kunjungan ke sekolah SD An Nizam, Kota Medan tidak berakhir begitu sahaja.

Sebaliknya mereka berharap, kunjungan sebegitu akan diadakan lagi pada masa akan datang.

Jurulatih kelab, Cikgu Siti Zarina Mohd Yusof berkata, semua peserta yang mengikuti rombongan tersebut sangat gembira dan berharap mereka diberi peluang sebegini lagi selepas ini.

“Program Silang Budaya Titian Seni Assudais 2018 ini bukan sekadar program lawatan semata-mata tetapi program ilmiah di mana kita beri pendedahan kepada murid mengenai kebudayaan sesebuah negara dan memperkenalkan seni dikir di peringkat antarabangsa,” katanya.

Program Silang Budaya Titian Seni Assudais 2018 ke SD An Nizam, Kota Medan diadakan pada 17 hingga 20 November lalu.

Lawatan selama empat hari itu membabitkan 10 murid tahun 6 dan 5 serta tiga guru pengiring.

Ia dianjurkan oleh Kelab Dikir Barat Assudais dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Seksyen 24.

Sepanjang berada di Kota Medan, peserta rombongan berpeluang melawat tempat bersejarah di Medan, melihat persembahan seni budaya dan meraikan Maulidur Rasul di Masjid Raya Kota Medan.

Sementara itu, murid tahun 6, Muhammad Aqil Fikri Mohd Sobri berkata, pelbagai pengalaman diperoleh sepanjang berada di Kota Medan.

“Selain mengenali ramai kawan baru, saya juga dapat mempelajari banyak budaya baru di negara mereka. Seronoklah,” ujarnya.

Airel Anaqi Noorazlan yang turut serta pada rombongan itu bersyukur kerana berpeluang pergi ke sana.

“Saya akan menghargai apa saja yang diperoleh kerana kesusahan itu mengajar erti hidup,” kata murid tahun 6 ini.

 

Pihak SD An Nizam menyampaikan sijil kepada Ahli Kelab Dikir Barat Assudais.

 

Kedatangan rombongan Sk Seksyen 24 disambut dengan sangat meriah oleh warga SD An Nizam.

 

 

Ketika di Istana Maimun.

 

Di hadapan Masjid Raya Kota Medan.

 

Mendengar tazkirah ringkas Maulidur Rasul dan sejarah Masjid Raya al-Masyhun, Kota Medan.