MUNGKIN ramai tidak mengetahui, keistimewaan cengkih atau nama saintifiknya, 'Eugenia aromatica' mampu mengurangkan ketagihan merokok dan minuman beralkohol.

Pati minyak cengkih dikatakan kaya 70 peratus eugenol turut mengandungi pelbagai mineral lain termasuk besi, magnesium, fosforus, natrium, kalsium, asid hidroklorik, kalium dan vitamin C, K dan A.

Bukan sahaja penting sebagai ubat tahan sakit gigi dan pembuatan minyak wangi, eugenol turut digunakan dalam penghasilan penstabil dan antioksida untuk bahan plastik dan getah.

Melalui kajian saintifik, minyak cengkih turut dipercayai berkesan membunuh pelbagai bentuk jangkitan bakteria disebabkan makanan tercemar selain antiseptik mengurangkan jangkitan, luka, gigitan serangga dan sengatan serta membantu masalah kulit seperti jerawat.

Melihat manfaat di sebalik cengkih, sekumpulan penyelidik dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam 3, Selangor merintis idea luar biasa dengan mencipta inovasi gula-gula daripada herba itu yang boleh menghilangkan ketagihan merokok.

Penyelidik itu ialah pengetua sekolah tersebut, Suriati Moharom bersama seorang guru pelatih, Adhwa Mohd Radhi termasuk sekumpulan pelajar.

Pelajar yang terbabit ialah Aamir Akhtar Javed Ahmad, Alya Maisarah Nabila Azahar, Yang Aisha Azmi, Nursyahida Aidilla Sha’fe dan Danish Akmal Rusydan.

Ia turut dibantu pasukan sokongan, Muhammad Yusoff Abdullah, Nur Amani Ishun, Syazwani Azra Saharudin, M Vijayadaran dan Syarill Reza Badruz Zahi termasuk guru pengiring yang berhempas-pulas menjayakan misi tanpa mengira masa dan tenaga, Rahartini Che Isa, Rohaiza Rahmad, Norazalina Abu Seman dan Arlina Zainal.

Usaha mereka sangat berbaloi apabila ciptaan hebat itu memenangi Pertandingan anjuran Malaysia Young Scientists Organisation (MYSO) dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Gula-gula cengkih yang dinamakan Clove Anti Smoking Candy kemudian mencuri hati juri apabila mereka sekali lagi membawa pulang pingat emas, gangsa dan perak pada International Young Scientists Inovation Exhibition yang melibatkan 640 penyertaan seluruh dunia.

 CLOVER Anti Smoking Candy berjaya memikat hati juri sekali gus menewaskan ratusan penyertaan lain.

Perluas

Menurut Suriati, ada cerita di sebalik inovasi Clove Anti Smoking Candy.

“Asalnya, inovasi gula-gula cengkih itu mahu mengurangkan ketagihan merokok dalam kalangan pelajar kerana pada tahun lalu, terdapat satu kes dadah melibatkan pelajar sehingga saya dipanggil kementerian.

“Dari situ, saya kena buat sesuatu. Jadi atas idea bersama Adhwa, kami buat dalam bentuk gula-gula sebab lebih sesuai dengan usia remaja. Kalau buat dalam bentuk ubat mesti tak mahu makan.

“Kemudian, saya panggil 20 pelajar yang tegar merokok secara sukarela untuk masuk dalam satu kumpulan kajian,” katanya ketika ditemui e-Trend di SMK Puncak Alam 3 baru-baru ini.

Ujar Suriati, hasilnya, seramai tujuh pelajar berjaya berhenti dan ibu bapa setiap daripada mereka mahukan gula-gula berkenaan.

“Saya percaya, daripada ketagihan merokok, seseorang mudah terdedah kepada dadah. Saya pilih cengkih kerana orang zaman dahulu guna herba itu untuk bantu ketagihan merokok,” katanya.

Sesungguhnya kejayaan yang diraih membuatkan mereka maju setapak ke hadapan.

Inovasi Clove Anti Smoking Candy kemudian dikembangkan bersana sekumpulan pelajar terpilih untuk berkolaboratif bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.

“Kajian lebih terperinci dibuat di makmal UiTM supaya produk itu diperakui selamat digunakan sebelum dibentangkan kepada kementerian bagi tujuan komersial.

“Kerjasama Timbalan Dekan Fakulti Farmasi, Profesor Madya Dr. Mizaton Hazizul Hasan dan pensyarahnya, Dr. Hanis Fadzillah Mohsin cukup baik dan memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari benda baharu. Insya-ALLAH, produk ini akan dikembangkan lagi dan dibuat penjenamaan semula,” katanya yang mempunyai perancangan untuk menambah perisa kepada gula-gula itu.

APA kata penyelidik

Aamir Akhtar Javed Ahmad, 16

“Peluang sertai pertandingan bertaraf antarabangsa ini menyuntik semangat untuk saya belajar bersungguh-sungguh bagi merealisasikan cita-cita yang terpendam.”

Danish Akmal Rusydan, 16

“Berdepan dengan orang ramai membuatkan hati cuak, namun persediaan rapi memberikan keyakinan untuk membuat pembentangan dengan cemerlang.”

Alya Maisarah Nabila Azahar,16

“Pengalaman ini membuatkan saya teruja untuk sertai pertandingan lain sebab daripada 200 penyertaan, kami dapat nombor dua. Saya berharap inovasi sekolah ini dapat dipromosikan sehingga ke peringkat global.”

Yang Aisha Azmi, 16

“Memang tak pernah sertai mana-mana pertandingan sebelum ini tapi tak sangka kami berjaya. Berkat kerja keras hafal skrip sampai ke Subuh berbaloi.”

Nursyahida Aidilla Sha’fe, 16

“Saya tak sangka impian nak masuk makmal tercapai bila kena buat kajian di UiTM sebab cita-cita saya mahu menjadi seorang farmasi.”

Baca:

Link soalan percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi

Pelajar OKU hilang beg duit, nasib baik kru feri buat kutipan siap hantar ke terminal lagi

Tip skor A Matematik UPSR - Mak ayah wajib ambil tahu perkara ini

Ibu nak anak cepat pandai, mungkin 6 teknik orang Jepun didik anak ini boleh bantu

UPSR dah dekat - Ini kami kongsi 10 tip skor A Sains UPSR