GURU Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa di daerah Muadzam Shah, Pahang berkongsi dengan warganet mengenai Aiman iaitu salah seorang pelajarnya yang dianggap unik.

Berkata kepada GPS Bestari baru-baru ini, Cikgu Ropizam San berharap, akan lebih ramai pelajar seperti Aiman bakal dilahirkan kelak.

"Walaupun Aiman adalah pelajar biasa dalam bidang akademik tetapi nilai-nilai murni yang ada pada dirinya, buat ramai sayang," katanya.

Selanjutnya kisah Aiman menerusi artikel berikut.

**********

Aiman, ‘The Only One’. Aiman membuatkan saya terasa seperti ‘Dunia Didik Ini Ana Yang Punya’.

Hari ini, saya bangga gegarkan pentas tapak perhimpunan dengan ‘Kisah Aiman’.

Agaknya di benua Asia ini, tinggal berapa orang saja yang miliki kesudian unik seperti Aiman.

Kalian yang terbaca kisah ini saya mohon satu perkara. Iaitu, doakan Aiman berjaya dunia akhirat. Ini saja saya minta. Boleh kan...???

Istimewanya Aiman, biarpun pelajarannya tidaklah gah cemerlang, namun setiap hari Aiman akan peluk saya dan guru-guru yang lain juga.

Usai bersalam mencium tangan, Aiman akan dakap saya erat. Ya, setiap hari Aiman akan tarik saya ke badannya untuk dipeluk. Tak kiralah sama ada di kelas, tapak perhimpunan, terjumpa di tepi koridor bangunan, apatah lagi di surau. Aiman begitu selesa dan ringan tulang melapangkan tangan dan memeluk tulus. Mana nak cari senang-senang begini kan...?

Setiap kali dipeluk Aiman, saya tidak lepaskan peluang bibitkan doa di dalam hati khas buat Aiman. Saya berbisik sendiri, “Ya Allah, Dikau bantulah Aiman, murahkan dan permudahkan lah rezeki Aiman di masa-masa mendatang kelak”.

Yang lagi best nya...

Pernah suatu hari, saya bersama suri hati dan anak-anak sedang menikmati juadah tengah hari di sebuah restoran di Segamat.

Sedang menghirup kuah, tiba-tiba saya ditegur...

"Assalamualaikum Cikgu...". Terus saya dongak melihat,

“Wa’alaikummussalam...Eh...laaa, Aiman..."

Seperti biasa, Aiman terus menghulur tangan bersalaman, mencium tangan dan mendakap saya. Itulah silibus budi Aiman. Jumpa di luar kejauhan di bandar sekalipun, ‘butang’ cinta hormatnya pada cikgu tetap sentiasa di ‘switch ON’ di mana-mana.

“Aiman dengan sapa datang...? tanyaku.

“Ehh ada...dengan mak ayah. Tu sana tu haa...”, balas Aiman sambil menunjukkan ibu dan ayahnya yang sedang juga menikmati juadah di meja sudut sebelah sana.

Terlihat satu pinggan tanpa tuan yang terisi makanan di depan pinggan menu orang tuanya. Ohhh.... maknanya, barangkali sedang menjamu selera Aiman terlihat gurunya, maka Aiman tinggalkan sekejap menu juadahnya untuk segera singgah sekejap ke meja saya dan memeluk gurunya.

Aimann...Aiman...Cikgu bangga dengan sikap kamu begini. Menjadi guru ini tidaklah kaya, namun punyai seorang anak murid begini sudah cukup membuatkan cikgu merasa ‘Dunia Didik Ini seperti Ana Yang Punya’.

Terima kasih Aiman. Berbaki sebulan lebih lagi Aiman, si anak bongsu ini akan tinggalkan zaman persekolahan. Tidak kiralah apa pun keputusan Aiman nanti, cikgu akan tetap doakan Aiman berjaya dan cemerlang dunia akhirat. Cikgu yakin Allah Taa’la akan bantu insan baik seperti Aiman, Insya Allah.

‘Aiman’. Namamu sudah terpahat indah dalam kitab memoir hati cikgu selaku kaunselor biasa. Pelukan dakapan harian Aiman pasti tidak cikgu lupakan.

Memandangkan Aiman akan meninggalkan bangku sekolah tidak lama lagi, saat menulis coretat santai ini, Cikgu mula terfikir... dan terasa seperti tahun hadapan ingin cikgu anjur satu program yang dinamakan “MENCARI AIMAN”. Haaaa...! Alaaa, macam rancangan mencari bakat muda bola sepak ‘Mencari Ramli’ tu. Allahuakhbar...Cikgu sudah dapat bayangkan betapa bahagianya keluarga sebuah premis pendidikan andai lebih ramai lahirnya murid yang tulus mendakap erat guru-gurunya mengikut acuan batasan jantina.

Tahniah Aiman. Kelihatan susuk tubuhmu biasa-biasa saja, namun menjadi pencetus fenomena buat seorang guru muda seperti saya.

Ya, sudah pasti andai cikgumu ini panjang umur dan sempat tua nanti, kisah mu Aiman pasti akan berdiri sama tinggi sebaris kisah-kisah pengalaman yang cikgu lalui, akan menjadi satu bab yang cikgu akan ‘story’ kan pada anak, cucu dan cicit cikgu nanti.

Bab ‘Kisah Dakapan Aiman’, cikgu harap Aiman sudi dan Aiman tak kisah, dengan mesin jadual jangkaan masa depan cikgu ini.

“Ya Allah, sayangilah Aiman, jayakanlah dia, tunjukilah jalan-jalan yang mampu membahagiakan hidupnya dan keluarganya, Amin"

Sumber: Facebook Klinik Terapeutik Ropizam San

Artikel Menarik:

Guru cemerlang ini kongsi tip lulus temuduga Tahfiz Model Ulul Albab

Dr Kamilin kongsi enam sebab, anak perlu hafal al-Quran

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

Ustazah Fadilah Lee kongsi sembilan tip menghafaz Tahfiz Model Ulul Albab

Cara mudah menghafaz al-Quran...10 tip ini boleh dijadikan panduan