ALOR SETAR - Tiada keperluan merombak silibus sedia ada yang dilaksanakan Taman  Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri  Rina Mohd Harun berkata,  silibus berkenaan diiktiraf sebagai ‘One of Trusted Brand for Preschool Learning  Centre’ pada 2017 oleh Reader’s Digest Trusted Brands.

Menurutnya, kaedah pendidikan juga pernah ditambah baik menerusi modul pendidikan Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM).

“Program STREAM dilancarkan Oktober tahun  lalu memberi peluang kanak- kanak belajar sambil  mengaplikasikan keadaan sebenar. Contohnya di   Melaka menggunakan aerospace dan di Wilayah Persekutuan ada robotic,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Prowheels (M) Sdn Bhd, di Kampung Kuala Sungai, Kubang Rotan semalam.

Rina diminta mengulas sama ada silibus di Tabika Kemas kurang berkualiti dan wajar dirombak susulan  terdapat ibu bapa memilih tadika swasta.

Katanya, yuran di Tabika Kemas jauh lebih rendah berbanding swasta.

“Kebanyakan Tabika Kemas dibina di luar bandar dan ada juga di bandar.  Kita memahami kemelut ibu bapa di bandar dan akan terus bina mengikut bajet mereka,” katanya.

Menurutnya, Tabika Kemas Transit turut diwujudkan di kawasan bandar dan pinggir bandar bagi membantu mengurangkan perbelanjaan ibu bapa.

Dalam perkembangan lain, Rina memberitahu,  Majlis Amanah Rakyat (Mara) membantu membiayai  6,300 usahawan dalam bidang automatif sejak 2011 hingga Jun lalu.

“Kementerian memperuntukkan sebanyak RM10.1 juta bawah skim pembiayaan perniagaan  Mara dalam bidang automotif tahun ini,” katanya.

Artikel lain:

Murid Tahun Lima, adik Tahun Satu serta ibu rentung dalam kebakaran empat rumah semalam

KPM galakkan pihak swasta ketengahkan ilmu robotik di sekolah tahfiz

'Setiap hari datang ke sekolah, Tuanku wajib akan bawa bola' - bekas guru Al-Sultan Abdullah