Guru hari ini dilihat mempunyai peranan cukup besar untuk menyampaikan ilmu.

Mereka bukan sahaja berdepan dengan masalah bagaimana untuk menarik perhatian pelajar agar fokus dengan apa yang diajar tetapi mereka juga perlu lebih bijak dalam pelbagai perkara untuk menangani soalan-soalan pelajar yang mudah mendapat maklumat daripada internet.

Anugerah Guru Adiwira PAK21 bagaikan suntikan pemacu untuk guru terus melengkapkan diri sebagai seorang pendidik generasi baharu.

Ikuti temubual Editor GPS Bestari Wan Normi Hasan dan Wartawan Sarina Mohd Som bersama Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

1. Pusat Sumber Sekolah dan Media adalah satu elemen penting yang menyediakan bahan bacaan dan mendorong minat membaca. Namun didapati guru-guru di sekolah banyak keluarkan duit sendiri untuk menceriakan sekolah. Adakah KPM prihatin, dan turut disediakan peruntukan khas buat guru-guru Pusat Sumber Sekolah?

DR.MASZLEE: KPM ingin meneraju perubahan berteraskan Sekolah Milik Masyarakat (SMM), kita mahukan keterlibatan anggota masyarakat dalam membangunkan dan menceriakan sekolah.

Sebab itu kita beralih ke PIBK, (Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti), supaya mereka dapat merasakan sekolah ini milik bersama. Di samping itu, kita juga dalam usaha mengaktifkan alumni di sekolah-sekolah, semoga lebih ramai alumni pulang dan kembali, mencurahkan jasa ke sekolah lama mereka.

Selain mempertingkatkan usaha PPP ('public private partnership'), melalui insentif cukai yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2019 yang lalu, iaitu terdapat pelepasan cukai untuk sebarang sumbangan kepada sekolah.

Kita mengharapkan dan mengalu-alukan lebih banyak lagi syarikatsyarikat swasta dan korporat, serta orang perseorangan, untuk tampil membantu sekolah.

2. Bagaimana dengan Anugerah Tokoh Nilam. Adakah akan diteruskan?

DR.MASZLEE: Insya-ALLAH, bila sampai waktunya, kita akan beritahu.

3. Dr nyatakan alumni itu perlu digerakkan untuk kembali ke sekolah, apa langkah KPM?

DR.MASZLEE: Kita akan lancarkan kempen Alumni Kembali ke Sekolah, dan ia lebih terletak kepada pihak sekolah untuk membawa mereka kembali. Kita juga akan cuba menggalakkan alumni yang menyumbang ini diberikan pelepasan cukai menerusi insentif cukai dalam Belanjawan 2019 sebelum ini.

Kita mengharapkan lebih ramai alumni pulang ke sekolah masing-masing dan menyumbang.

4. Daripada segi pelaksanaan mengurangkan beban tugas guru, di peringkat KPM, banyak usaha yang dilakukan bagi mengurangkan beban tugas guru. Tapi, pelaksanaannya di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan guru besar. Misalnya Ujian Sumatif dan pemantauan tugas nazir masih lagi dilaksana dan diteruskan.  Malah, menerusi lawatan kunjung Bantu Tugas, masih lagi wujud pemarkahan di situ. Adakah arahan daripada KPM tidak sampai ke bawah atau bagaimana?

DR. MASZLEE : InsyaALLAH sehingga hujung tahun ini banyak perubahan akan berlaku.

5. Dr. sasarkan, hujung tahun ini akan dapat dikurangkan beban tugas guru dan guru akan kembali kepada tugas hakiki?

DR. MASZLEE: Kita inginkan supaya guru mempunyai lebih banyak waktu untuk interaksi dengan murid, mendidik mereka dan melakukan lebih banyak aktiviti yang akan membugarkan potensi serta juga bakat kreatif anak murid.

Kita tahu, murid-murid yang diberikan tumpuan dan perhatian yang lebih ini mempunyai potensi untuk berjaya.

Justeru, kita inginkan guru dapat memberikan perhatian yang saksama kepada anak murid, terutamanya kepada mereka yang memerlukan keperluan yang lebih daripada yang lain.

Agar mereka dapat digilap potensi dan cemerlang dalam bidang yang mereka inginkan.

6. Adakah itu bermakna bilangan pelajar akan dikurangkan dalam bilik darjah?

DR. MASZLEE: Kita menggalakkan pelajar dan juga mereka yang keciciran untuk datang ke sekolah. Kita juga tidak boleh halang mereka, apatah lagi untuk kurangkan jumlah pelajar
yang mahu ke sekolah.

Sebab kita yakin, sekolah adalah tempat selamat untuk anak-anak ini.

Kalau mereka tidak ke sekolah, sudah tentu mereka akan berada di jalanan, dan terdedah dengan jenayah dan gejala sosial. Mengenai pengurangan murid dalam bilik darjah, ia perlu dilihat di peringkat sekolah, kaji setiap kes, dan tidak boleh dilihat secara umum.

Artikel berkaitan: Siri 1: Temu bual khas bersama Dr. Maszlee menjawab isu beban guru dan hala tuju pendidikan

7. Jika dahulu ada anugerah kepada sekolah, seperti Sekolah Harapan Negara, Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sekolah Berprestasi Tinggi untuk memberikan semangat kepada sekolah meningkatkan prestasi. Adakah anugerah sebegitu masih ada atau ada anugerah lain yang akan diwujudkan kelak?

DR. MASZLEE: Kita ingin menggalakkan lebih banyak Pendidikan Abad Ke-21 dilangsungkan di sekolah.

Guru-guru dapat melahirkan kreativiti dan daya inovasi demi mencungkil potensi anak murid.

Tidak kiralah di mana sekolah mereka, sama ada di pedalaman, asrama penuh, prestasi tinggi dan sebagainya. Sebab kita yakin, sekiranya para guru menggunakan pendekatan kreatif berdasarkan abad ke-21, anak murid berpeluang untuk cemerlang.

8. Adakah anugerah untuk sekolah itu akan dimansuhkan?

DR. MASZLEE: Kita akan pastikan bahawa guru-guru, terutamanya guru-guru muda ini menggunakan pendekatan yang sebaik mungkin, bukan untuk mendapatkan anugerah, atau meraih gelaran prestasi dan sebagainya tetapi sebahagian daripada komitmen mereka dalam membina dan menggilap potensi murid.

Sebab kita tahu bahawa terdapat ramai guru yang kreatif, dan mereka ini merupakan Superhero dan Adiwira dalam membina serta mendidik anak murid.

9. Adakah untuk melaksanakan PAK21 itu, guru-guru perlu mengeluarkan modal sendiri?

DR. MASZLEE: Ketika pertandingan PAK21 yang dianjurkan oleh PADU baru-baru ini, kita dapati ramai guru yang turut serta, ada 1,060 orang guru dari seluruh negara telah turut serta dalam pertandingan ini.

Kebanyakan mereka terdiri daripada guru-guru muda, dan pemenangnya juga adalah Cikgu Nazmi, guru muda dari Lawas, Sarawak.

Mereka sungguh kreatif dan menggunakan sumber-sumber yang ada, serta menjadikan ruang pembelajaran itu tidak terhad dalam bilik darjah. Malah, bilik darjah juga bukan lagi ruang pembelajaran yang bosan, seperti mana yang dinyatakan oleh Cikgu Nazmi dalam videonya, anak-anak muridnya tidak pernah lihat laut, jadi cikgu ini cuba ‘bawa laut’ dalam kelas.

Tidak perlu berbelanja besar pun, cuma guru-guru perlu lebih kreatif dan menggunakan sumber yang terhad dan sedia ada, serta menggunakannya semaksimum mungkin.

Saya yakin, guru-guru seperti ini ramai, mereka perlu ditonjolkan lagi dan akan cuba kongsikan pencapaian mereka dengan guru-guru yang ada, agar kita dapat melahirkan lebih ramai guru yang berpotensi.

10. Berkenaan dengan Jawatankuasa Kajian Dasar, anggotanya bukan dalam kalangan guru yang masih mengajar di sekolah. Adakah Dr. merasakan ahli yang dilantik itu mempunyai cukup kriteria untuk menyelami apa yang dihadapi oleh guru di sekolah ketika ini?

DR. MASZLEE: Pertama sekali, kita mempunyai ramai guru dan juga bekas guru.

Mereka ini telah melakukan sesi libat urus dengan guru-guru yang berpengalaman.

Kalau dia seorang sahaja yang berpengalaman, dia akan datang seorang tetapi jika dia melakukan libat urus dengan ramai guru yang lain, dia akan dapat menyelami lebih ramai.

Mereka ini telah menyediakan laporan yang begitu menarik, mendasar dan juga bernas. Saya akan membawa laporan tersebut kepada YAB Perdana Menteri, dan seterusnya ke Kabinet.

11. Adakah ia akan mengubah dasar pendidikan negara?

DR. MASZLEE: Setakat ini mereka bergerak dalam kerangka dasar pendidikan negara sedia ada. Ini bermakna tidak akan berlaku perubahan dasar.

Artikel menarik:

Ustazah ini kongsi tip seronoknya belajar bahasa Arab, susah pun jadi mudah

Hanya bermodalkan RM200, SMK Panji Alam bolot empat anugerah dunia - Tahniah Terengganu! (15 foto)

Guru Adiwira PAK 21 ini guna lego dan Elemen 4K1N ajar MBK masalah penglihatan

'Syukur dapat bantuan, saya mula belajar al-Quran sejak sekolah rendah' - Penerima al-Quran braille

Sambut Hari Guru jangan sampai 'lupa diri'