JOHOR BAHRU - Sistem pendidikan penting bagi mewujudkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah, semangat perpaduan perlu bermula di sekolah seiring usaha untuk memupuk keharmonian antara kaum.

Baginda juga mahu pendidikan memberi penekanan kepada subjek Sejarah bagi mengukuhkan lagi jati diri rakyat. 

“Sistem pendidikan menjadi medium penting sebagai pemangkin perpaduan kaum di negara ini,” titahnya kepada Royal Press Office (RPO) seperti dipetik daripada Facebook rasminya semalam. 

Terdahulu, Sultan Johor berkenan menerima menghadap Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi di sini.

Pertemuan lebih sejam itu memberi peluang kepada Dr. Maszlee mendapatkan pandangan Sultan Ibrahim berhubung hala tuju serta sistem pendidikan negara.

Baginda turut bertitah, kepentingan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah penting tanpa mengenepikan bahasa Melayu.

“Begitu juga dengan cadangan bahasa Mandarin dan Tamil boleh dipelajari bersama-sama dan menjadi kelebihan dalam penguasaan bahasa.

“Kemahiran menguasai pelbagai bahasa bukan sahaja suatu perkara baik malah dapat mengeratkan hubungan antara kaum,” titah baginda.

Baca:

Tak sempat kembali bertugas di SK Medini, Cikgu Adam maut dirempuh kereta

Penyakit myokimia dihidap calon UPSR SK Taman Bukit Dahlia boleh ganggu tumbesaran - Dr. Zainal

SK Krubong, SK Belimbing ditutup akibat banjir

'Adam hasrat sambung ke Sekolah Menengah Sains Machang' - Ibu murid jatuh bas (4 foto)

Keluarga saman RM5 juta: Pakar percaya calon UPSR hidap myokimia akibar pencemaran Sungai Kim Kim