KUANTAN - Dendam terhadap keluarga Siti Masitah Ibrahim didakwa menjadi punca pembunuhan kanak-kanak berusia 11 tahun itu, oleh suspek dikenali mereka.

Kanak-kanak berketurunan Kemboja itu dipercayai dipukul dengan objek tumpul di bahagian kepala oleh suspek berusia 23 tahun itu pada hari dia dilaporkan hilang 30 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nayan berkata, motif tersebut disimpulkan berdasarkan hasil bedah siasat yang telah dijalankan terhadap mangsa, semalam.

Menurutnya, terdapat tiga kecederaan di rahang kiri, bahagian atas tengkorak sebelah kiri belakang kepala mangsa.

"Kecederaan ini punca mangsa meninggal dunia, selain pengakuan awal suspek yang mendedahkan penglibatan dirinya berkait dengan kehilangan mangsa pada 11 hari lalu.

“Hasil pengakuan itu juga, polis telah merampas senjata kayu dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa.

“Pemeriksaan terhadap mayat yang ditemukan di lokasi mendapati dalam keadaan tertiarap dan hampir reput serta tangan dalam keadaan diikat dari belakang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Laporan Sinar Harian semalam.

Siti Masitah dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Medang Hilir di Pekan untuk ke kedai dengan menunggang basikal kira-kira jam 5 petang, 30 Januari lalu.

Mayat anak ketiga daripada empat beradik itu ditemukan oleh penduduk kampung yang memburu ayam hutan di dalam semak bersebelahan sebuah ladang kelapa sawit di Tanjung Medang Kemahang, kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Othman berkata, suspek yang juga warganegara Kemboja disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum itu katanya, polis menahan suspek kira-kira jam 2 pagi pada 31 Januari lalu di kampung berkenaan berdasarkan maklumat awam.

"Ini sebab suspek adalah orang terakhir dilihat bersama mangsa dan kini dia ditahan reman sehingga 17 Februari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Selain itu katanya, berdasarkan baju dipakai oleh mangsa, ibunya, Solihah Abdullah mengecam ia sama seperti dipakai anaknya itu ketika keluar dari rumah pada 30 Januari lalu.

"Bagaimanapun, polis tidak dapat mengesahkan mayat yang ditemukan adalah mayat kanak-kanak hilang berkenaan kerana pengesahan hanya dapat diberikan setelah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan kelak," katanya.

Sementara itu, Othman menafikan penularan berita tidak berasas bahawa terdapat organ dalaman mayat berkenaan hilang, kononnya dikaitkan dengan aktiviti penjualan organ manusia.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan keadaan mayat yang tidak sempurna boleh diakibatkan oleh haiwan liar dan faktor mayat terdedah dalam tempoh masa panjang.