Pasir Gudang - Seorang ibu kepada enam anak yang menetap di Pasir Gudang terpaksa membawa anak-anaknya berpindah ke Skudai kerana masalah pencemaran toksik di Sungai Kim Kim yang semakin membimbangkan.

Syareena Ali, 38, berkata, hari ini dia mendapat panggilan daripada guru supaya membawa pulang anaknya kerana sudah ada murid yang pengsan, sesak nafas dan muntah.

"Tadi je, anak saya kata lebih 10 murid pengsan.. nasib baik lima anak saya tak bagi ke sekolah sebab saya dapati pencemaran udara sudah mula merebak ke kawasan berdekatan sekolah, cuma yang sulung saja kerana dia ada 'exam, itupun saya dah bekalkan topeng muka," katanya.

Notis yang dikeluarkan Smart Readers Kids Seri Alam kepada ibu bapa berkenaan penutupan sekolah itu sehingga diberitahu.

Syareena yang merupakan bekas Ketua Wartawan Sinar Harian Johor berkata, dia juga sudah mula sakit dada dan sukar bernafas sejak malam tadi.

"Situasi makin teruk hingga saya buat keputusan pindah ke Skudai.. saya dah tak fikir pasal sekolah anak yang penting kami keluar dari Pasir Gudang.

"Tambahan pula dua anak saya antibodi lemah dan asma," katanya.

Enam anaknya, Irsya Sofea, 12, Irsya Marissa, 10, Irsya Mia Maisara, 9 dan Irsyad Irfan Irwadi, 8, bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Damai dan Sekolah Agama Taman Scientex. 

Manakala dua lagi anak kembarnya, Irsya Arianna dan Irsyad Aryan, 5 bersekolah di Smart Readers Kids Seri Alam, di sini.

"Sekolah anak kembar saya juga telah mengeluarkan notis penutupan sehingga diberitahu," katanya.

Keadaan murid di SK Taman Nusa Damai, tengah hari tadi.

 

Syareena (kanan) bersama anak-anaknya ketika tiba di Skudai.

Syareena (kanan) dan anak-anak gembira tidak lagi diancam pencemaran toksik.

Ini pula senarai 34 sekolah yang diumumkan tutup oleh KPM https://www.gpsbestari.com/berita/johor/senarai-34-sekolah-ditutup-di-pasir-gudang-1.923641