TAMPIN - Pasukan Kriket Perempuan Bawah 12 Tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rokan Utara, Gemencheh, di sini, berjaya melakar sejarah apabila bergelar juara sekali gus menewaskan pasukan dari SK Taman Seri Pagi di pentas akhir Kejohanan Kriket Juara-juara Sekolah Peringkat Kebangsaan 2018.

Kejohanan dianjurkan Persatuan Kriket Malaysia (PKM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) itu melibatkan lapan pasukan kriket perempuan dan 12 pasukan lelaki dari seluruh negara.

Malah kejohanan yang berlangsung di Kinrara Oval, Puchong Selangor itu merupakan kejohanan pertama yang melibatkan pasukan kriket perempuan bawah 12 tahun di negara ini.

Sekolah yang terlibat dipilih setelah menjadi johan melalui Kejohanan Juara-juara Sekolah yang dilaksanakan di peringkat negeri masing-masing.

SK Bukit Rokan Utara diletakkan dalam kumpulan B bersama pasukan dari sekolah SK(P) Methodist 2 (Melaka), SK Kampung Nail (Terengganu) dan SK Dato’ Onn Jaafar (Selangor).

Peserta yang menyertai Kejohanan Kriket Juara-juara Sekolah Peringkat Kebangsaan 2018.

Pada peringkat kumpulan, SK Bukit Rokan Utara telah membenam pasukan SK Kampung Nail dengan 143 larian.

Pasukan SK(P) Methodist 2, juga terpaksa akur dengan kekalahan sebanyak 184 larian dan seterusnya SK Dato’ Onn Jaafar, dengan 171 larian sekali gus melayakkan SK Bukit Rokan Utara muncul johan dalam Kumpulan B.

Usaha berganda pemain meneruskan aksi bertenaga pada pertembungan di pentas akhir dengan SK Tasek Dermawan, Perak membuahkan hasil apabila berjaya mara ke peringkat akhir yang membawa pertembungan dengan SK Taman Seri Pagi.

Namun kemenangan berpihak kepada SK Bukit Rokan yang berjaya membuktikan ketangkasan pasukannya.

Jurulatih, Muzakkir Md Rahim berkata, kemenangan itu tidak dapat dicapai jika tiada semangat berpasukan antara pemain.

“Kemenangan ini datangnya dari semangat pemain itu sendiri selepas mereka berhempas-pulas berlatih tidak kira panas dan hujan semata-mata untuk kejohanan ini,” katanya.

Sementara itu perasmian penutupdisempurnakan Penyelaras Sukan Kriket Kementerian Pendidikan, Afiq Athari Abdul Wahid.

Tiga pemain SK Bukit Rokan Utara iaitu Nurul Ashikin Binti Zali telah menerima Anugerah Pembaling Terbaik, Puteri Nurizzati Aqila Mohd Izuan (Penjaga Wiket Terbaik) dan Nur Khairunnisha Abd Aziz menerima anugerah Pemain Terbaik.

Aksi ketika perlawanan.