Pada tarikh 19 Februari setiap tahun, Malaysia menyambut Sambutan Hari AntiDadah Kebangsaan (HADK) penuh meriah dengan kepelbagaian aktiviti yang telah disediakan.

Namun begitu, tahun 2021 menyaksikan suasana sambutan yang cukup berbeza dalam rakyat Malaysia, ekoran pandemik Covid-19 yang melanda.

Bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Kenering, Gerik, HADK pernah diadakan sebelum ini dalam suasana yang cukup meriah, kreatif dan besar-besaran.

“Tahun ini, semuanya sudah berubah. Apa sahaja bentuk program anjuran sekolah mahupun pihak berkaitan, perlu dilakukan dalam normal baharu,” kata Guru Bimbingan dan Kaunseling, Cikgu Mohd Hafiz Yusoff.

Kerana norma baharu tersebut, SK Kenering telah merancang untuk melaksanakan Sambutan HADK peringkat sekolah secara dalam talian, baru-baru ini.

Menurut Cikgu Mohd Hafiz yang juga Penyelaras Program, tema HADK tahun ini adalah ‘Lebih Baik Cegah’.

“Tema ini sangat bersesuaian dengan situasi semasa negara yang dilanda Covid-19,” katanya.

Cikgu Mohd Hafiz

Tambah beliau, aktiviti atas talian merupakan pilihan terbaik yang boleh dilaksanakan di semua sekolah.

“Fokus aktiviti yang dilaksanakan ini meliputi aspek pencegahan penyalahgunaan dadah melalui aktiviti berbentuk informasi seperti kuiz antidadah atas talian, penghasilan buku skrap antidadah atas talian dan penghasilan mesej antidadah atas talian.

“Selain itu, aktiviti karya kreatif seperti puisi, sajak, pantun, syair yang bertemakan antidadah juga boleh dilakukan oleh pihak sekolah, dalam menarik minat murid menyertainya,” ujarnya dan menyeru kepada semua sekolah, agar menganjurkan HADK secara online, dengan kepelbagaian aktiviti yang lebih menarik lagi.

Jelasnya lagi, potensi dan bakat yang ada dalam diri murid boleh dicungkil dan dikembangkan oleh guru-guru melalui aktiviti-aktiviti yang dinyatakan itu.  

Sokongan ibu bapa dan penjaga dalam menjayakan pelaksanaan aktiviti sebegini sangat diharapkan.

Malah, keadaan yang serba terhad ini akan menjadikan kekurangan kemudahan menjadi cabaran kepada pelaksanaan aktiviti-aktiviti ini.

Walau bagaimanapun, kebijaksanaan para guru yang sangat kreatif akan memastikan segala usaha dapat dijayakan dengan sebaiknya.

“Kesemua aktiviti ini adalah untuk meningkatkan kefahaman, kesedaran dan penghayatan dalam kalangan murid-murid, warga sekolah, ibu bapa atau penjaga serta komuniti sekitar sekolah. Pemain utama di sekolah adalah semua guru, ibu bapa dan juga penjaga,” katanya.

Antara aktiviti menarik yang dijalankan SK Kenering sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

Dalam pada itu, Cikgu Mohd Hafiz berkata, penglibatan semua pihak dalam program sebegini sama ada  

secara langsung atau tidak langsung dapat mengurangkan faktor risiko dan meningkatkan faktor pelindung (risk and protective factor).

“Kunci utama kepada kejayaan dalam pencegahan penyalahgunaan dadah di peringkat sekolah adalah kadar celik huruf atau literasi murid-murid dalam bidang akademik.

“Jika mereka tidak dapat menguasai kemahiran akademik iaitu membaca, menulis dan mengira (3M), sudah tentu kumpulan murid ini tidak berminat untuk belajar dan hadir ke sekolah dan akhirnya mendorong mereka terlibat perkara negatif.  

“Maka cabaran kepada semua guru di sekolah dalam menyumbang kepada kemenjadian murid secara holistik adalah memfokuskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan kemahiran akademik murid-murid dapat dikuasai sepenuhnya.

“Justeru, saya amat berharap bahawa, dengan penganjuran HADK secara online ini, dapat membawa impak positif pada semua pihak,” ujarnya.

Artikel menarik

UTeM menang besar di EREKA 2021, gondol 28 pingat

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan