SHAH ALAM - Ramai ibu bapa tersalah anggap mengenai konsep belajar di rumah. Rata-rata memahami, belajar di rumah itu adalah dengan mewajibkan anak-anak mengadap buku selama beberapa jam hanya untuk membaca dan menulis sedangkan, tindakan itu hanya akan menimbulkan rasa kurang selesa kepada anak-anak yang baru nak menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira).

Bagi memberi pemahaman jelas kepada ibu bapa, Unit Pemulihan Khas dan Panitia Bahasa Melayu dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Parit Markom, Pontian, Johor, mengajurkan bengkel Aplikasi Amalan Terbaik dan Bimbingan Keluarga di Bilik JQaf sekolah itu.

Seramai 73 peserta yang terdiri daripada murid pemulihan khas, murid pendidikan khas, prasekolah dan ibu bapa murid telah terlibat dalam program itu.

Penyelaras program, Guru Pemulihan Khas SK Parit Markom, Samsudin Abdul Malek berkata, menerusi program tersebut ibu bapa didedahkan secara pratikal berkenaan cara bimbingan yang dapat menarik minat anak-anak belajar di rumah bagi mengatasi masalah 3M.

“Pendedahan secara praktikal ini dapat memberi peluang dan ruang untuk ibu bapa mengetahui kaedah serta teknik yang betul dalam melahirkan daya tarikan awal anak belajar di rumah.

"Langkah ini secara tidak langsung membantu mengatasi masalah anak yang mudah leka dengan telefon pintar dan juga gajet," katanya.

Program tersebut dikendalikan sepenuhnya Guru Pakar Pemulihan Khas SK Nitar 1 merangkap Jurulatih Utama Pemulihan Khas Kebangsaan Cikgu Roslee Abdul.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Permuafakatan Guru Pemulihan Negeri Johor merupakan guru inovasi yang telah mendapat banyak kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara Inovasi yang dihasilkan dan turut digunapakai di seluruh negara adalah, Kaedah Peta Bingkai dan permainan komputer dalam versi Melayu setanding dengan permainan komputer luar negara yang melibatkan asas menguasai 3M.

Sepanjang bengkel berlangsung, beberapa aktiviti kemahiran turut diadakan, antaranya mewarna, menggunting, melekat, memadan, dan mencorak.

Menerusinya, ibu bapa dapat pendedahan sebenar mengenai kaedah mengatasi masalah 3M secara lebih sistematik dan terancang.

Dalam masa sama, kelemahan dan kekuatan anak-anak melalui aktiviti secara terus ini juga boleh dikenal pasti.

Turut hadir, Guru Besar SK Parit Markom, Mohd Azlan Abdul Rahman; Panitia Bahasa Melayu SK Pt Markom, Cikgu Alias Basri; PIBG SK Pt Markom, Majlis Permuafakatan Guru Pemulihan Daerah Pontian dan PPD Pontian.

Guru Besar SK Parit Markom, Mohd Azlan Abdul Rahman dalam ucapan perasmiannya berkata,  semoga perkongsian ilmu yang disampaikan menerusi program berkenaan dapat melonjakkan prestasi murid dalam menguasai 3M.

“Saya berharap dengan penglibatan ibu bapa kali ini dapat memberikan kesan positif terhadap pendidikan anak-anak, sekali gus mampu diaplikasikan di setiap rumah,” katanya.

ARTIKEL MENARIK:

Insiden guru rotan pelajar yang menggelarnya Cikgu Pondan, ini reaksi Dr. Maszlee

Guru ini kongsi 12 kelebihan masuk Tingkatan Enam, nombor tujuh pasti buat ramai tersenyum

Sejarah nama lima sekolah yang terkenal di Malaysia - Ini faktanya

Guru Adiwira PAK 21 ini guna lego dan Elemen 4K1N ajar MBK Masalah Penglihatan

Memang wajar guru ini menang Adiwira PAK21, Cikgu Nazmi berjaya bawa segala ilmu dalam kelasnya