TAIPING - Seramai 40 ahli Kelab Doktor Muda Sekolah Kebangsaan Seri Budiman bertindak menjadi duta kecil tangani denggi dengan menyertai Skuad Patrol Denggi sekolah itu yang bermula Februari lalu.

Penyelaras Khidmat Sosial Skuad Patrol Denggi SK Seri Budiman, Cikgu Mardhiah Bidin berkata, kesemua peserta skuad terdiri murid darjah empat menyahut inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia dan Sanofi Pasteur dengan menganjurkan kempen menangani wabak denggi melalui pertandingan Patrol Denggi.

Selain mengadakan kolaboratif jalinan antarabangsa dengan Ketua Bahagian Kelembagaan dan Sistem Informasi di Lembaga Layanan Perguruan Tinggi Wilayah Sumatera Utara, Indonesia, SK Seri Budiman turut mendapat nasihat daripada Cikgu Bakhtir Borhan yang mengajar di Sekolah Menengah Jurong, Singapura.  

Malah, SK Seri Budiman yang mewakili Daerah Kuala Terengganu dalam pertandingan pengiktirafan Misi Gempur Denggi Peringkat Negeri Terengganu yang akan berakhir pada 22 Mei 2019 itu turut mendapat sokongan padu dari pelbagai pihak.

Antaranya Timbalan Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan, Menteri Besar Terengganu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Pengarah Pendidikan negeri terengganu, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, tokoh-tokoh setempat dan selebriti tanah air.

“Sebenarnya, Patrol Denggi adalah satu kempen untuk mewujudkan kesedaran tentang bahaya denggi, dalam bentuk terkini dan mudah difahami. Bahkan, kami juga berpegang kepada misi dan visi, iaitu ‘Bersatu untuk membanteras denggi di dalam usaha menjadikan Malaysia bebas denggi’ dan ‘Memperlengkapkan dan memperkasakan murid sebagai pendidik dan insan berpengaruh dengan bertindak sebagai duta untuk mencegah denggi,”katanya kepada GPSBestari.

Skuad Denggi SKSB juga terkenal dengan slogan 'Dengue Squad Bang Bang!', selain maskot ‘Nyamuk Viral’ yang direka khas untuk menarik perhatian umum. Info-info mengenai bahaya denggi juga turut disalurkan kepada masyarakat dan komuniti menerusi khidmat sosial dan seni persembahan.

Antara program yang telah dijalankan adalah Program Gegar Denggi di Pentas Batu Buruk, Persembahan di Karnival Riuh Dammak RTM Sempena Hari RTM Ke 73 dan juga mengedarkan risalah di Karnival Maghi Candat Sotong Terengganu 2019.

Jelas Mardhiah, murid-murid sekolah mudah terdedah kepada risiko denggi, justeru usaha dan juga langkah proaktif untuk mencegah denggi dalam komuniti setempat perlu diambil segera.

”Rata-rata program yang dijalankan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat. Harapan besar Skuad Denggi SKSB, masyarakat haruslah menitikberatkan usaha menjaga kebersihan serta memastikan Kuala Terengganu sifar wabak denggi,”katanya.

Menurutnya, pihaknya juga bersyukur, Skuad Petrol Denggi SK Seri Budiman turut mendapat sokongan penuh, Guru Besar SK Seri Budiman, Cikgu Salleh @ Mokhtar Ismail, Penolong Kanan Hem, Cikgu Saadiah Abd. Rahman, Penyelaras Media Sosial & Seni Persembahan, Cikgu Muhammad Hasnul Anuar Ahmad Sabri,  Cikgu Wan Syafiqah, Cikgu Mohd Azri Jamili dan juga Cikgu Fakhruddin Draman serta semua warga Sk Seri Budiman yang terlibat sepenuhnya dalam menjayakan misi gempur denggi.

Nyamuk Viral

Inilah adik Fawwaz, antara salah seorang ahli DengueSquadSKSB yang berbakat menghidupkan maskot Nyamuk Viral kita dengan pergerakan yang lincah. Semalam, Fawwaz menggalas tanggungjawab menjadi Nyamuk Viral untuk bergambar bersama-sama Menteri Besar Terengganu. Terbaiklah Fawwaz!!