Seramai 82 orang murid tahun enam, SK Seri Muda, termasuk 15 orang fasilitator yang terdiri daripada wakil kelab sukarelawan dan kelab penyayang dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, terlibat dalam Program Transformasi Diri murid darjah 6 bermula 27 sehingga 29 Jun 2019, di Universiti Malaysia Perlis.

Konsep kerjasama yang berasaskan konsep perkongsian kepakaran ini dilihat telah berjaya merealisasikan hasrat sekolah untuk memberi peluang kepada pelajar untuk merasai kehidupan di Universiti disamping memberikan semangat dan keyakinan kepada pelajar sebelum menempuh peperiksaan UPSR pada bulan september tahun ini.

Pelbagai program telah diatur termasuklah perkongsian startegi menjawab soalan UPSR, lawatan ke perpustakaan Tunku Syed Faizzuddin dan Pusat Sukan UniMAP.

Seramai tiga pensyarah kanan yang berpengalaman yang terdiri daripada Dekan Bioproses, wakil Dekan IKOM dan Dr Mohd Nabil Midhat telah sudi membantu untuk berkongsi pengalaman, kepakaran dan motivasi kepada semua pelajar- pelajar secara sukarela.

Guru Besar SK Seri Muda, Cikgu Sharifah Othman dalam ucapannya turut berharap,  program seumpama ini dapat diteruskan dalam bentuk yang lain, agar manfaatnya dapat diraih bersama.

Sementara Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan dalam ucapan penutupnya pula berkata, UniMAP, khususnya JHEPA sangat menyokong penganjuran program berkonsepkan CSR. Bahkan beliau turut mengalu-alukan kerjasama strategik seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.