KUANTAN - Sebanyak 584 naskhah bahan bacaan pelbagai judul telah disumbangkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lembing, di sini, dalam usaha meningkatkan tahap pembacaan pelajar sekolah berkenaan.

Ketua Pustakawan Pusat Sumber Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Hashimah Mohd Yusof berkata sumbangan itu juga bertujuan meningkatkan kadar celik huruf dan literasi digital bagi pelajar kurang berkemampuan di luar bandar.

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga menyarankan pusat sumber atau perpustakaan di semua kementerian, jabatan mahupun agensi mereliasasikan Malaysia sebagai negara membaca,” katanya kepada Bernama ketika berlangsungnya program Kasih: Books4U di SK Sungai Lembing, di sini, Sabtu lalu.

Program berkenaan adalah anjuran bersama Pusat Sumber KKMM dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Penerbit tempatan yang telah menyumbang bahan bacaan bagi program ini ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Kumpulan Karangkraf, Kadokawa Gempakstarz, Jendela Informasi, Essjay Marketing dan Farana Books Resources.

Selain penyerahan sumbangan buku, program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia dan Kempen Baca Bersama Bernama (3B) itu juga membawakan pelbagai aktiviti bagi disertai lebih 100 pelajar yang hadir termasuk promosi bahan bacaan digital PNM dan pertandingan mewarna.

Sementara itu guru Besar SK Sungai Lembing Mohd Shari Muda berkata sudut-sudut bacaan akan dibuka di sekitar kawasan sekolah bagi membolehkan 131 pelajar sekolah itu memanfaatkan sumbangan bahan bacaan berkenaan.

"Saya amat berterima kasih kerana sumbangan ini ialah tambahan kepada bahan bacaan sedia di perpustakaan sekolah. Sudut bacaan akan diwujudkan di beberapa lokasi termasuk di kantin dan tempat menunggu ibu bapa.

"Ini membolehkan murid-murid memanfaatkan bahan bacaan berkenaan ketika masa senggang mereka pada waktu rehat atau ketika menunggu ibu bapa mereka untuk pulang dari sekolah,” katanya. - Bernama

Artikel manarik:

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

I Force hasil inovasi guru Fizik ini menang pelbagai anugerah buatkan subjek Fizik semudah 1,2,3

Cikgu Rosle kongsi 10 tajuk ramalan Sejarah SPM bagi tingkatan empat. Dah boleh hafal sekarang!

Murid Tahap Satu masih belum kuasai Matematik? Guru subjek ini kongsi tip untuk ibu ayah ikut