ISKANDAR PUTERI - Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Adang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang yang sebelum ini diarahkan tutup selama dua hari berikutan kebakaran hutan di Jalan Tanjung Kupang, Kampung Pekajang dekat Gelang Patah, di sini, dibuka semula seperti biasa pagi ini.

Tinjauan Bernama di dua sekolah berkenaan mendapati ibu bapa mula menghantar anak-anak mereka seawal jam 7 pagi tadi.

Sebahagian pelajar juga dilihat hadir dengan memakai topeng muka walaupun berdasarkan pemerhatian, keadaan udara di kawasan sekitar tidak berkabus atau berasap, namun bau terbakar masih boleh dihidu.

Pengetua SMK Tanjung Adang Noor Hafizah Abdul Wahab berkata pihak sekolah merasa lega dan bersyukur kerana tiada lagi asap kelihatan pada awal pagi ini dan cuaca agak mendung.

Katanya, berbanding pada hari pertama dan kedua kebakaran, tiada lagi jelaga kebakaran boleh dilihat hari ini.

Walau bagaimanapun, Noor Hafizah berkata pihak sekolah sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengedarkan dua penutup muka kepada setiap 204 pelajarnya dan 41 guru, kakitangan sekolah, pengawal keselamatan dan pihak kantin.

"Kami turut menasihati pelajar yang mengalami masalah kesihatan supaya tidak datang sekolah hari ini sebagai langkah berjaga-jaga.

"Hari ini sebarang aktiviti luar juga ditangguhkan dan pelajar juga harus pulang sebaik sesi persekolahan hari ini tamat,” katanya kepada pemberita di perkarangan sekolah itu, di sini, hari ini.

Noor Hafizah berkata pada Ahad lepas terdapat beberapa pelajar dan guru yang mengalami masalah kesihatan, terjejas dan mengalami sesak nafas akibat kebakaran hutan itu, namun kesemuanya sudah mendapatkan rawatan awal di klinik kesihatan berdekatan.

Beliau dalam masa sama turut menzahirkan penghargaannya kepada pelbagai pihak terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri yang bertungkus-lumus memadam kebakaran sejak 21 Ogos.

"Surau di sekolah adalah antara paling dekat dengan kawasan kebakaran tetapi syukur tidak ada apa-apa terjadi. Pihak bomba juga pantas bertindak,” katanya.

Kebakaran hutan yang bermula Rabu lepas dengan melibatkan kawasan seluas 16 hektar dipercayai berpunca akibat cuaca panas dan kering.

Setakat semalam, 70 peratus daripada kebakaran berjaya dipadamkan dan teknik ‘banjir sepenuhnya’ akan digunakan JBPM dengan fokus kepada baki 30 peratus kawasan yang masih terbakar.

Sehingga kini, 140 anggota dan 30 aset JBPM digunakan dalam operasi pemadaman selain dibantu agensi lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Johor. - Bernama

Tip Menarik:

Skor A Matematik UPSR...Cikgu Mohamad Hakim kongsi 11 contoh soalan bersama langkah pengiraannya

10 topik Sains wajib ulang kaji menjelang UPSR - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Teknik GPS cara Cikgu Shahrul...calon pasti dapat jawab dengan mudah Sains (Kertas 1) UPSR