BAHAU - Pasukan Kadet Polis Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chi Wen Bahau muncul juara bagi pertandingan kawad kaki peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jempol, baru-baru ini.

Penolong Kanan Ko-Kurikulum SMJK Chi Wen Bahau, Ng Ah Moy berkata, pihak sekolah amat berbangga dengan pencapaian yang diperoleh semua ahli kadet polis untuk pertandingan tersebut.

"Kejayaan mereka itu perlu mendapat pujian atas usaha keras sebagai persediaan selama beberapa minggu untuk  mendapatkan rentak terbaik dalam landasan kawad.

"Kami bersyukur pasukan kadet polis sekolah ini berjaya mendapat tempat  terbaik dalam kawad kaki kali ini dan sudah pasti membanggakan pihak sekolah.

"Saya ucapkan tahniah kepada semua yang terlibat serta guru pembimbing yang memberikan sokongan terhadap setiap  aktiviti anak-anak mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pihaknya berharap kejayaan ini akan menjadi pemangkin untuk mencipta lebih banyak kecemerlangan masa depan. "Pihak sekolah bukan sahaja menitik

berat soal akademik tetapi sukan juga susulan aktiviti seperti ini dapat  memberikan pelajar kita lebih berkeyakinan dalam apa juga yang dilakukan .

"Manakala kejayaan kita bukan sahaja bergantung kepada usaha pelajar tetapi galakan ibu bapa juga guru.

"Tanpa sokongan dan keredhaan mereka, kejayaan sukar dicapai," katanya. 

Untuk rekod, pasukan Kadet Polis SMJK Chi Wen Bahau telah mewakili daerah Jempol untuk Pertandingan Kawad Kaki Peringkat Negeri Sembilan 2018 dan telah berjaya memenangi tempat ketiga dalam pertandingan tersebut.