MELAKA TENGAH - Pelajar Sekolah Menengah Agama dan Tahfiz al-Quran (SMATQ) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Pulau Besar di sini yang terputus bekalan air bersih terpaksa bergotong-royong mengangkut bekalan air yang dihantar menggunakan bot laju sejak beberapa minggu lalu.

Jurucakap sekolah berkata, kira-kira 40 tong air diangkut menggunakan bot laju ke jeti umbai sebelum dibawa semula  ke tepi bangunan sekolah.

“Pelajar di situ kemudiannya bergotong- royong mengangkut air itu untuk  kegunaan minuman dan makanan warga sekolah tersebut.

“Masalah itu selalu berlaku.  Nasib baik pelajar baru selesai peperiksaan dan ada waktu lapang untuk bantu angkut air.

“Saya difahamkan keadaan ini berlaku kerana masalah kerosakan dan kebocoran saluran paip Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB),” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAIM, Datuk Azhan Md Samat berkata, pihaknya berharap  ibu bapa dan pelajar bersabar dengan kesulitan yang terpaksa dihadapi sebelum sesi persekolahan tamat tahun ini.

Menurutnya, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari juga telah memutuskan untuk  memindahkan pengurusan dan warga sekolah terbabit ke Kompleks Al-Kawarizmi, Tanjung Bidara tahun depan.

“Kita prihatin dengan isu ini dan akan mula memindahkan barang-barang bermula  hujung tahun ini,” katanya.

Katanya, beberapa faktor lain seperti keselamatan pelajar juga diambil kira jika berlaku sebarang kecemasan.

“Setakat ini kompleks (Al-Kawarizmi) dilihat sebagai lokasi strategik dan kondusif dan berpindah menjadi keutamaan kita ketika ini,” katanya.

Difahamkan bangunan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka PKNM akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk diwakafkan.

Artikel Menarik:

'Tak jadi marah bila tengok tulisan murid tahun enam' - Cikgu Norashikin dedah siapa pemiliknya

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

'Macam-macam jumpa, kadang-kadang dah anggap seperti perkara biasa' - Guru luah apa yang dilalui

Tak berganjak walau seminit...kesetiaan murid UPSR temani rakan berkerusi roda buat netizen sebak