BAGAN SERAI - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Serai akan melaksanakan projek tanaman 500 pokok nanas madu MD2 di tanah seluas lebih 0.3 hektar bagi membolehkan pelajar sekolah itu mengikuti pembelajaran yang berlainan di luar bilik darjah.

Pengetua sekolah, Roslan Hassan, 55, berkata projek itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi menggalakkan pelajar sekolah khususnya ahli Kelab Geografi untuk memahami konsep agro-pertanian teknologi terkini termasuk penanaman secara hidroponik.

"Kita mahukan pelajar melibatkan diri supaya mereka dapat memahami proses keseluruhan penanaman nanas di sini sebagai salah satu ilmu baharu dalam pembelajaran.

"Kawasan tanah yang masih kosong apabila diusahakan boleh mengeluarkan hasil yang boleh digunakan untuk membantu pelajar terutama golongan B40,” katanya.

Beliau berkata pihak sekolah telah memohon peruntukan RM10,000 daripada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Razman Zakaria bagi tujuan menambak kawasan tanah dan membeli benih untuk tanaman nanas setelah kawasan itu dibersihkan.

Roslan berkata setakat ini pihaknya telah melaksanakan projek tanaman sayuran secara hidroponik sejak Ogos tahun lepas membabitkan tanaman kailan, sawi, bayam, kobis dan salad menggunakan 400 pot sumbangan kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Peladangan, Perikanan dan Sekuriti Makanan Datuk Abdul Yunus Jamahri.

Menurut beliau, tanaman bercorak hidroponik itu dikhususkan kepada pelajar Pendidikan Khas bagi memastikan semua pelajar di sekolah berkenaan mendapat pendidikan yang terbaik dan tiada yang terpinggir dalam menimba ilmu pengetahuan.

Katanya terdapat 58 pelajar Pendidikan Khas dalam kategori cacat fizikal, lembam dan menghidap sawan di sekolah berkenaan yang boleh mendapatkan ilmu pengetahuan yang berguna itu untuk dimanfaatkan pada masa depan.

"Projek sayur-sayuran hidroponik telah berjaya mengeluarkan hasil yang dijual kepada guru dan hasil jualan dimasukkan ke dalam tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah untuk membantu 1,127 pelajar golongan B40 daripada keseluruhan 1,218 pelajar di sekolah ini,” katanya - BERNAMA

Artikel menarik

Guru ini praktik 3 platform media sosial, wujud suasana PdPR menyeronokkan

'Kami berusaha dan cuba beri yang terbaik, sokonglah kami dan janganlah menuduh yang bukan-bukan'