SEBERANG TAKIR - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim  Fikri memperkenalkan Program Ibadurrahman bagi mengekang masalah disiplin dan tingkah laku dalam kalangan pelajar sekolah itu.

Setiausaha kehormatnya, Zulkefli Ismail berkata, program itu melibatkan pelajar tingkatan satu hingga lima yang dikenal pasti berdepan masalah disiplin.

Menurutnya, program khas itu juga turut mendapat kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan lain-lain.

"Majlis bersetuju bagi projek tingkatan satu, seramai 30 pelajar yang dikenal  pasti ada masalah tingkah laku akan dipantau sehingga tingkatan tiga dalam semua aspek.

"Seramai 20 pelajar tingkatan  dua, tiga, empat dan lima yang dikenal pasti akan dipantau dan diberi program khas di Jenagor, Hulu Terengganu selain bengkel- bengkel khas oleh UMT, UniSZA dan dibantu unit kaunseling SMK Ibrahim Fikri.

"Manakala, 40 pelajar yang kehadiran ke sekolah  kurang memuaskan diberi program takaruf, halaqah berbasikal dan bengkel-bengkel khas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui sebaik selesai mesyuarat di SMK Ibrahim Fikri, di sini. 

Katanya, ibu bapa juga akan turut dilibatkan dalam  program-program sedemikian agar usaha membantu  pelajar bermasalah ditangani sebaiknya.

"Pihak PIBG sememangnya memandang serius usaha untuk mengekang masalah disiplin dan salah  laku melibatkan pelajar di sekolah itu," katanya.