KOTA BHARU - Projek kitar semula sisa makanan menjadi baja tanaman yang dihasilkan sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian, di sini membawa tuah apabila ia mendapat pengiktirafan World’s Largest Lesson (WLL).

PengIktirafan itu menjadikan SMK Kubang Kerian satu-satunya sekolah di Malaysia yang berjaya merangkul anugerah seterusnya melayakkan mereka terbang ke Rome, Itali untuk menyertai ICAN Global Children’s Summit, pada 26 Nov ini.

Guru pembimbing, Wan Azrina Muhamad Zuki berkata projek yang dinamakan ‘Food Save Thank’ itu mendapat tempat kedua Plate PioneerZ Award dan telah dihasilkan lima pelajar iaitu Nurnisa Amni Che Nazir, 16, Aina Nurain Mohd Zamanshahril,16, Nooremylia Erna Abdullah,14, Nur Iman Akmal Mazue Fazrol, 14, dan Amir Hisyam Ariffin Marzuki,13.

"Lebih 90 buah sekolah seluruh negara yang telah menyertai pertandingan ini pada Mei lepas melalui dalam atas talian, namun pasukan kami bernasib baik kerana berjaya memenuhi kriteria yang diperlukan oleh juri di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di SMK Kubang Kerian di sini, hari ini.

Wan Azrina berkata ilham menghasilkan projek ini tercetus apabila sebuah akhbar tempatan mengeluarkan statistik mendapati 16 ribu tan makanan dibazirkan di Malaysia setiap hari.

Katanya, kadar pembaziran 16 ribu tan makanan itu dapat memenuhi keperluan 12 juta orang untuk tiga kali makan sehari.

"Melalui inovasi ini, sisa makanan terbuang akan ditapis di dalam bekas selama seminggu sebelum ditabur dengan ‘Bio Catalyst’ (bahan penguraian) dan diperam selama dua minggu sebelum dapat digunakan sebagai baja tanaman.

"Melalui projek ini juga pelajar menggunakan baja yang dihasilkan untuk menanam sayur-sayuran dan hasilnya akan diagihkan kepada pelajar lain yang susah sekaligus mendidik golongan ini makan makanan yang berkhasiat,” katanya.

Wan Azrina berkata dengan adanya projek ini pihaknya mahu mengubah pemikiran masyarakat tentang sisa makanan sekaligus menimbulkan kesedaran untuk memanfaatkan sisa makanan terbuang.

"Harapan kami juga dengan adanya inovasi ini ia dapat mensifarkan pembaziran dan kebuluran dalam kalangan masyarakat,” katanya. - Bernama

Artikel Menarik:

Hanya seminggu, murid Tahun Dua ini sudah mampu kuasai semua subjek...ini rahsia ibunya buat

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

10 manfaat belajar awal pagi cara Cikgu Shahrul

Panduan mengemas meja guru agar kemas dan tersusun - Boleh rujuk tip yang dikongsi rakan guru