KUALA LUMPUR - Pasukan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampangan, Seremban melakar kejayaan cemerlang apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan ‘DIY Made Simple 2020 - Green School-Vertical Garden’ baru-baru ini.

Pertandingan anjuran bersama Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UM) atau UMCares dan syarikat peruncit perkakas rumah terkemuka, MR D.I.Y. Group (M) Bhd (MR D.I.Y) itu merupakan pertandingan yang memupuk pelajar sekolah menengah mencari solusi bagi membaik pulih fasiliti-fasiliti dalam sekolah mereka dengan menggunakan bahan-bahan kitar semula.

Pasukan dari SMK Seri Ampangan yang dianggotai 10 pelajar, membawa pulang hadiah tempat pertama (Kategori Anugerah Emas) bernilai RM4,500 bagi projek 'Bidai Hijau’.

Projek Bidai Hijau pelajar SMK Seri Ampangan berjaya mendapat tempat pertama bagi Kategori Anugerah Emas.

Manakala pasukan SMK Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Hamidiah, Kajang Seri masing-masing mendapat tempat kedua (Kategori Anugerah Perak) dengan hadiah bernilai RM3,000 setiap pasukan.

Selain daripada hadiah wang tunai, trofi dan sijil penyertaan, setiap pasukan pemenang turut menerima baucar MR.D.I.Y. bernilai RM1,500.

Terdahulu, pertandingan diadakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama pada Januari dengan sejumlah 75 sekolah menghantar video penyertaan idea mereka.    

Juri-juri yang terdiri daripada wakil UMcares dan MR. D.I.Y, telah menyenaraipendek lapan pasukan untuk mara ke fasa kedua, di mana setiap pasukan di mentor oleh pensyarah-pensyarah dari Fakulti Alam Bina UM bagi memastikan perjalanan transformasi idea mereka menjadi realiti.

Bercakap pada acara penyampaian hadiah yang berlangsung di UM, Pengerusi MR D.I.Y. Group, Datuk Azlam Shah Alias berkata, MR D.I.Y. berpegang pada pembangunan komuniti melalui persekitaran di dalam rumah dan tempat kerja yang selesa dan meningkatkan daya kreativiti, pada harga yang berpatutan dan mampu milik, selaras dengan janji kami ‘Always Low Prices’.    

"Kerjasama antara pihak kami dan UMCares selama empat tahun ini dalam memupuk daya kreativiti dan semangat para pelajar membaik pulih persekitaran melalui projek-projek DIY amat memuaskan hati.

“Pertandingan pada tahun ini yang bertemakan ‘Green School-Vertical Garden’ memerlukan pelajar mengitar dan mengguna semula barang-barang lama menjadi baharu     untuk fasiliti-fasiliti di taman sekolah mereka.    

"Biarpun berjauhan secara fizikal dari sekolah pada setiap masa, saya tetap terpegun dengan idea-idea pelajar serta kerjasama yang dipamerkan oleh kelapan-lapan sekolah ini. Mereka sangat memahami semangat DIY yang cuba diterapkan," katanya.

Azlam Shah

DIY Made Simple adalah sebuah pertandingan tahunan yang disokong oleh Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan daya kreativiti dan pemikiran     inovatif para pelajar di samping memupuk pembangunan kemahiran insaniah mereka seperti komunikasi, kerjasama berkumpulan dan kepimpinan.

Sementara itu, pihak penganjur turut mengumumkan 28 pasukan yang telah berjaya mara ke fasa dua bagi pertandingan “DIY Made Simple 2021-Green School Reimagining Plastic Waste For the 21st Century Classroom” selepas berjaya menumpaskan 104 buah sekolah pada fasa pertama pertandingan.

INFO

1) Anugerah Emas

SMK Seri Ampangan, Seremban, NEGERI SEMBILAN (RM4,500)

2) Anugerah Perak

SMK Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya, Selangor (RM3,000)

SMKA Maahad Hamidiah, Kajang, Selangor (RM3,000)

3) Anugerah Gangsa

SMK Cochrane Perkasa, Jalan Cochrane, Kuala Lumpur (RM500)

SMK Seri Hartamas, Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur (RM500)

SMK Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas, Pulau Pinang (RM500)

SMK Jalan Empat Bandar Baru Bangi, Bandar Baru Bangi, Selangor (RM500)

SMK Merapok, Lawas, Sarawak (RM500)

4) Kategori video mendapat “like” terbanyak di YouTube

SMK Jalan Kebun, Shah Alam, SELANGOR (RM500)

Artikel menarik

Guru cemerlang kongsi tip manfaatkan waktu rehat, bantu murid lebih fokus

'Saya ingat emak bergurau' - Anak terkejut ibu hadiahkan nanas ketika konvokesyen USIM