PUTRAJAYA - Semua subjek elektif dan bukan teras Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dianjakkan ke akhir September sebagai persiapan awal menghadapi musim banjir mulai tahun depan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Lembaga Peperiksaan dan mencadangkan mata pelajaran berkenaan dilaksanakan lebih awal antara akhir September dan awal Oktober, berbanding November pada masa ini.

Katanya, antara subjek terlibat ialah Bahasa Arab, Bahasa Punjabi, Bahasa Kadazan, Bahasa Iban, Kesusasteraan, Tasawwur Islam dan mata pelajaran Teknik Vokasional.

“Kita mahu beri keutamaan kepada pelajar menghadapi peperiksaan subjek tersebut dengan lebih fleksibel, menghadapi peperiksaan dahulu agar tidak terjejas ketika musim banjir.

“Kita cadang perkara itu berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1) di sini sempena peperiksaan SPM 2018, semalam.

Seramai 421,706 calon telah mendaftar untuk menduduki SPM tahun ini di 3,308 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Sementara itu, Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan bersiap siaga memindahkan calon SPM ke pusat lain jika berlaku banjir.