SEREMBAN - Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Tsunami Juniors dari Johor muncul juara kategori Bawah 16 tahun (B-16) lelaki dalam Kejohanan Ragbi Antarabangsa KGV 10s kali ke-14 yang berlangsung di Padang sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V (KGV) di sini, semalam.

Pasukan itu mengalahkan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Jempol, wakil Negeri Sembilan selepas memperoleh 14-5 pada aksi final kejohanan itu.

Kemenangan itu juga membolehkan SSTMI Tsunami Juniors membawa pulang piala pusingan, piala iringan dan pingat manakala SBPI Jempol meraih piala iringan dan pingat selaku naib juara yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani.

Jurulatih SSTMI Tsunami Juniors, Syed Shazril Syed Mahadzir menyifatkan disiplin tinggi yang dipamerkan anak buahnya sepanjang permainan memberi kejayaan kepada pasukannya untuk menang buat kali keempat berturut-turut sejak tahun 2016.

"Saya juga amat berterima kasih kepada semua pihak termasuk ibu bapa dan penaja. Kita bertungkus lumus mempertahankan kejuaraan dan bersikap positif pada perlawanan semalam.

"Meskipun mendapat tentangan dari pihak lawan namun anak buah saya tetap mempamerkan aksi yang baik dan disiplin cukup tinggi sekaligus memenangi perlawanan ini," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Sementara itu, pasukan tuan rumah SMK KGV berjaya menewaskan SMK Bandar Mas, Johor 12-0 pada aksi final dalam kategori Bawah 13 tahun (B-13) lelaki.

Dalam perlawanan akhir kategori perempuan (B-16) pula pasukan SDAHA Mermaids dari Johor muncul juara mengalahkan wakil Kedah, Putat Lions 4-0.

Kejohanan selama tiga hari itu bermula Jumaat lepas diadakan di dua lokasi iaitu di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Padang SMK KGV yang dianjurkan oleh SMK KGV dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan. - Bernama

Artikel Menarik:

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

Nak buat sambutan hari lahir anak di sekolah? Cikgu ini beri panduan apa ibu bapa perlu tahu

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan