PUTRAJAYA - Seramai 9,829 calon peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bakal menduduki peperiksaan bertulis mulai 21 Oktober ini.

Menerusi kenyataan media yang diemel kepada GPS Bestari petang ini, peperiksaan bertulis itu akan dijalankan pada 21, 22, 23, 30 dan 31 Oktober 2019.

Calon yang mendaftar pada tahun ini akan menduduki STAM di 234 pusat peperiksaan yang akan dibuka di Malaysia dan Kemboja.

Seramai 1,023 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.

Bagi calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, jumlah calonnya adalah 2,854 (29.1%), calon sekolah menengah agama negeri seramai 4,540 (46.2%) dan calon sekolah menengah agama rakyat 709 orang (7.2%).

Manakala calon sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM seramai 87 orang (0.9%), calon persendirian 1,497 (15.2%) dan calon luar negara (Kemboja) seramai 139 (1.4%).

Sementara itu, Lembaga Peperiksaan ingin mengingatkan semua calon agar merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan tersebut berlangsung.

Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my.

Seterusnya, calon diingatkan supaya membawa Dokumen Pengenalan Diri (MyKad atau Borang Pengenalan Diri Calon atau Surat Perakuan Pengenalan Diri) ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar.