KUALA LUMPUR - Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini mencatatkan peningkatan calon yang mendapat Pencapaian Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 iaitu 802 calon berbanding 666 calon pada 2018.

Lebih menggembirakan, daripada jumlah itu, 587 calon atau 73.19 peratus daripada golongan B40.

"Dengan pertambahan bilangan calon pada PNGK yang disebut ini, maka boleh dijadikan jangkaan, Insya-Allah, bahawa bilangan lepasan STPM yang akan diterima masuk ke universiti awam lebih besar berbanding bilangan calon pada tahun sebelumnya,” kata Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim dalam satu kenyataan di sini semalam.

Selain itu juga, katanya, calon yang mendapat PNGK 3.00-3.99 pada tahun ini juga bertambah 17,615 berbanding 17,447 calon pada 2018.

Sementara itu, mereka yang mendapat PNGK 2.75-2.99 bertambah kepada 6,423 berbanding 6,270 calon pada 2018 dan calon yang memperoleh PNGK 2.00-2.74 pula meningkat kepada 14,694 calon berbanding 13,722 calon pada 2018.

Mohd Azraai berkata pencapaian PNGK keseluruhan peperiksaan STPM 2019 turun iaitu 2.77 berbanding PNGK 2.80 pada 2018.

Bagaimanapun, PNGK Nasional ini masih mengatasi PNGK pada 2017, 2016, 2015, 2014 dan 2013.

"Perbezaan PNGK ini tidak signifikan kepada pencapaian calon STPM 2019 keseluruhannya,” katanya.

Mohd Azraai berkata keputusan tahun ini juga mencatatkan peningkatan peratusan dan bilangan calon yang mendapat 5A iaitu 42 calon berbanding 24 calon pada 2018.

Selain itu, terdapat juga kenaikan peratusan dan bilangan calon yang mendapat 4A iaitu 760 calon berbanding 642 calon pada 2018.

Seramai 44,823 calon telah menduduki peperiksaan STPM 2019 di 652 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 44,501 atau 99.28 peratus adalah calon sekolah kerajaan, calon sekolah swasta (167), calon persendirian (128) manakala 27 calon sekolah kerajaan negeri. - Bernama

Artikel Menarik:

'Kerana sering gatal kepala, Cikgu Aisham nekad kutip kutu murid. Buang tepi jijik, kotor, geli'

'Cutipun murid datang sekolah' - Rimba Kecil berjaya selesaikan masalah kehadiran SK Sayong Pinang

'Tak sangka dia boleh lukis macam ni' - Guru Bahasa Melayu terkejut tengok buku karangan pelajar

Patutlah hari persaraan dapat hadiah jongkong emas, bukan 'kaleng-kaleng' cikgu sukan ini

'Saya tak pernah makan ayam sesedap ini, cikgu' - Tangisan pelajar B40 buat ramai sedih