Belajar secara bijak atau 'study smart' adalah perlu pada saat- saat akhir sebelum UPSR menjelang. Tumpuan pada topik-topik yang 'glamer' dalam peperiksaan sangat diperlukan. Berikut, perkongsian Guru Matematik, Sekolah Kebangsaan Beruas, Perak, Cikgu Shahril Othman.

“Di sini cikgu kongsikan beberapa topik yang perlu diberikan tumpuan oleh calon-calon UPSR berdasarkan analisis 'item' yang dilakukan,”Cikgu Shahril

1. JUPIC (JISIM, UKURAN PANJANG & ISIPADU CECAIR

Topik-topik ini lah yang paling glamer dalam UPSR setiap tahun. Setiap tahun antara 12 hingga 16 soalan yang akan disoal bagi tajuk-tajuk ini. Kenapa banyak sangat?

Sebabnya walaupun tiga tajuk yang berlainan namun kaedah pengiraan untuk mendapatkan jawapan adalah sama. Cuma berbeza pada unit jawapan. Oleh itu, setiap murid perlu kuasai kaedah penukaran unit dengan baik supaya soalan-soalan ini dapat dijawab dengan tepat.

2. NOMBOR DAN OPERASI

Soalan-soalan tambah, tolak, darab, bahagi dan operasi bergabung adalah topik kedua yang 'glamer'. Kemahiran asas yang ini sangat perlu dikuasai sejak daripada tahap 1 lagi.

Selain itu, calon perlu tahu kata kunci dalam soalan untuk tahu operasi yang perlu digunakan seperti selisih (operasi tolak). Kemahiran mengira cepat menggunakan kaedah pengiraan mudah perlu ada untuk mengelakkan membuang masa ketika mengira. Masa itu emas!

3. WANG

Topik wang kebiasaannya antara lima hingga tujuh soalan yang akan dikemukakan setiap tahun. Pengetahuan tentang mata wang asing, untung, rugi, rebat, faedah mudah, faedah kompaun, dividen, aset dan liabiliti perlu ada dalam diri masing-masing.

4. PECAHAN

Jumlah soalan setiap tahun kebiasaannya antara lima hingga tujuh soalan. Konsep pecahan perlu difahami dan kaedah pengiraan perlu dikuasai. Perlu diketahui pecahan adalah proses yang melibatkan bahagi dan darab dalam satu bentuk. Murid yang mahir operasi asas mendarab dan membahagi kebiasaannya tidak bermasalah dengan soalan-soalan topik pecahan.

5. PENGURUSAN DATA

Topik yang berkaitan adalah min, median, mod, julat, piktograf & carta palang. Bilangan soalan setiap tahun antara empat hingga enam soalan. Min atau purata dan piktograf adalah yang kerap disoal. Calon perlu juga bijak membaca data daripada carta palang serta mengetahui cara mendapatkan mod.

6. MASA DAN WAKTU

Bilangan soalan setiap tahun ialah antara empat - lima soalan. Tajuk ini agak banyak yang perlu diketahui antaranya tahun & bulan, jam & minit, minggu & hari serta perlu tahu menukarkan unit khususnya melibatkan pecahan. Pengetahuan asas seperti 1 jam = 60 minit, tahun lompat, abad, dekad dan sistem 12 & 24 jam perlu dikuasai sebaiknya oleh semua calon.

7. PERATUS

Bilangan soalan melibatkan peratus berdasarkan analisis item, terdapat antara tiga hingga empat soalan setiap tahun. Jadi topik ini juga perlu diberi tumpuan dan latihan yang kerap. Banyak soalan peratus yang boleh dijawab melalui kaedah pola nombor dan pengetahuan 10% daripada jumlah keseluruhan.

Topik-topik lain tak perlu belajar ke?? Bukan macam tu. Semua topik perlu belajar dan buat latihan. Tapi tumpuan yang lebih kepada topik yang banyak disoal akan memberikan kelebihan kepada calon.

Jadi… ‘study smart’ ya.

Selamat menghadapi UPSR 2019 kepada semua calon khususnya kepada yang pernah mengikuti bengkel Cikgu Shahril di seluruh Malaysia.

TIP MENARIK:

UPSR dah dekat - Ini kami kongsi 10 tip skor A Sains UPSR

Tip skor A Matematik UPSR - Mak ayah wajib ambil tahu perkara ini

Lima tip penting buat calon yang mahu skor cemerlang Matematik UPSR

Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam kongsi tip mudah lulus Sains (MULUS) UPSR

Guru ini kongsi tip mudah skor A subjek Bahasa Inggeris UPSR