Segelintir pelajar di Malaysia sering dikatakan tidak meminati subjek Sejarah kerana beranggapan Sejarah itu susah.

Ada juga yang mengandaikan bahawa Sejarah itu membosankan kerana perlu membaca dan menghafal pelbagai perkara lalu.

Bagi Cikgu Nur Aisyah Samsuddin yang berpengalaman selama lima tahun dalam Sejarah berkata, minat atau tidak dalam subjek itu, perlu segera diatasi.  

“Di sini, saya fokuskan pada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang akan dijalankan Februari depan.

“Saya kira, semua calon sudah tahu bahawa subjek ini wajib lulus dalam SPM dan sekiranya tidak lulus, anda tidak akan mendapat sijil SPM walaupun subjek lain cemerlang,” katanya kepada GPS Bestari.  

Justeru, Cikgu Nur Aisyah yang lebih dikenali sebagai Ticer Nurun Aisyah mahu calon-calon SPM tidak ambil mudah perihal peperiksaan bagi Sejarah.

“Sejarah ada 3 Kertas. Kertas 1 (objektif 40 soalan); Kertas 2 (struktur 4 soalan dan esei 3 soalan) manakala Kertas 3 (open book exam dan soalan diberi awal sebelum peperiksaan).

“Syarat lulus Sejarah mestilah mendapat markah 40% dan ke atas. Kerana itu, saya mengharapkan semua calon…tolong ulang kaji Sejarah dengan baik kerana subjek ini sangat penting untuk masa depan anda,” katanya yang merupakan pengasas Nurun Academy iaitu sebuah pusat tuisyen yang hanya memfokuskan pembelajaran subjek Sejarah SPM sahaja.

Sebagai seorang pendidik, Ticer Nurun Aisyah merasakan yang dirinya perlu melakukan sesuatu untuk menarik minat pelajar mencintai dan seterusnya meminati Sejarah.

“Saya mulakan kelas online pada tahun 2017 dengan sasaran pelajar sekolah berasrama penuh dan MRSM. Alhamdullilah, sambutan cukup luar biasa dan yang terkini, saya mempunyai lebih 18,000 pelajar dari seluruh negeri termasuklah Sabah dan Sarawak,” katanya yang pernah menjadi tutor subjek Sejarah PT3 dan SPM dalam sebuah saluran televisyen, baru-baru ini.  

Bagi membantu calon-calon SPM lulus dalam Sejarah, Ticer Nurun Aisyah menerusi Nurun Academy akan menganjurkan seminar online secara percuma pada Sabtu dan Ahad ini di saluran Facebook Seminar NUR Form 5 KBSM dan Seminar NUR Form 4 KBSM.

Pelajar SPM 2020 silibus KBSM boleh mengikuti seminar yang dikenali sebagai NUR (Nak Ubah Result) secara percuma itu pada Sabtu, bermula jam 11 pagi – 12.30 tengahari; 2.30 petang – 3.30 petang dan 4 petang – 5.30 petang.

Manakala pelajar Tingkatan 4 2020 silibus KBSM boleh mengikuti Seminar NUR pada Ahad, bermula waktu yang sama, pada hari Sabtu tersebut.

“Dalam seminar itu, saya akan fokuskan kepada teknik skor Sejarah SPM.

“Saya mahu bantu semua calon lulus dengan cemerlang. Besar harapan saya agar adik-adik dapat meluangkan masa mengikuti seminar ini kerana ia adalah untuk masa depan anda semua,” jelasnya.

Artikel menarik

Sentiasa amalkan 3R, sekolah berusia 70 tahun menang pertandingan tandas bersih

Projek lima sekolah wakili Malaysia ke luar negara, The School Toilet Project antara saingan sengit!