GEORGETOWN - Menganggap ia sebagai rezeki di bulan Ramadan, seorang belia cacat penglihatan Muhamad Sirajudin Sulaiman, 19 menzahirkan rasa syukur apabila menerima bantuan al-Quran tulisan braille di sini, malam tadi.

Muhamad Sirajudin berkata pemberian al-Quran braille yang telah lama diimpikan itu akan membantunya belajar membaca dengan lebih sempurna memandangkan beliau hanya berkesempatan belajar membacanya ketika masih bersekolah.

"Di luar, tidak ramai yang ada al-Quran braille sendiri. Saya mula belajar baca al-Quran dari sekolah rendah... Saya diajar bermula daripada Iqra, Muqaddam, dan seterusnya al-Quran sehingga sekolah menengah dan saya sangat berterima kasih kepada guru-guru saya.

"(Pemberian) ini adalah satu langkah yang amat baik kerana telah menyuntik semangat kepada saya untuk mempelajari dan mendalami ilmu bacaan al-Quran dengan lebih sempurna," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Iftar Bersama Golongan Istimewa dan Penyampaian al-Quran Braille di sini.

Muhamad Sirajudin telah menyentuh perasaan orang ramai yang hadir dalam majlis semalam apabila bacaan al-Quran dengan lancar dan merdu yang menggunakan al-Quran braille yang telah diberikan kepadanya.

Dalam masa yang sama, Ramli Abd Rahman, 58 juga menzahirkan kesyukuran kerana berkesempatan untuk menerima bantuan tersebut. Menurutnya kali terakhir beliau membaca al-Quran braille adalah pada tahun 70-an ketika masih bersekolah.

"Saya rasa gembira (dengan bantuan ini) kerana al-Quran braille jika mahu dibeli harganya agak mahal juga. Kali terakhir saya membaca al-Quran ini sewaktu sekolah... setelah tamat persekolahan tiada siapa yang boleh ajarkan.

Dengan pemberian ini, Insya-Allah saya akan cuba baca perlahan-lahan dan saya akan mengambil kelas pengajian al-Quran braille untuk melancarkan lagi bacaan saya," kata Ramli.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Tongkat Putih Pulau Pinang dan Jawatankuasa Khariah Masjid Kapitan Keling dengan kerjasama KL Braille Resources, dan Pelita Samudra Pertama M Sdn Bhd.

Pengarah Pelita Samudra Pertama M Sdn Bhd Datuk Mohamed Aswan berkata bantuan pada hari ini akan diagihkan kepada 100 orang individu kurang upaya cacat penglihatan, pendengaran, dan bisu yang terpilih.

"Hari ini seramai 40 orang individu cacat penglihatan yang akan menerima bantuan al-Quran braille manakala selebihnya akan diagihkan ke sekolah-sekolah dan masjid-masjid yang terpilih. Tetamu yang dijemput pada hari ini juga akan diberikan bantuan hamper, beras, dan wang tunai," katanya.

Menurut Mohamed, sebanyak 1,000 naskah al-Quran braille dan bantuan akan diagihkan kepada pihak yang memerlukan telah menelan belanja sebanyak RM 69,000.

Pengarah KL Braille Resources Datuk Mah Hassan Omar dalam ucapannya berkata braille merupakan simbol pendidikan bukan sahaja alat pembelajaran untuk ke peringkat universiti, malah boleh digunakan untuk membaca al-Quran.

"Pada masa dahulu, orang yang cacat penglihatan belajar al-Quran dengan mendengar sahaja... kini kita mampu belajar al-Quran dengan lebih sempurna," katanya.

Presiden Persatuan Tongkat Putih Pulau Pinang, Swarn Singh berkata program yang telah dianjurkan oleh pihaknya itu tidak akan terhenti di sini kerana kini terdapat banyak permintaan terhadap al-Quran braille terutamanya oleh pihak-pihak yang kurang bernasib baik di seluruh negara.- Bernama

Artikel lain:

Pernah dirotan dan ditampar guru...kini siapa sangka Firdauz dah jadi 'orang kuat' di sekolah

Walau terpaksa tahan sakit, ditahan lapan hari di wad… guru ini tetap tanda kertas

Ketika di tingkatan enam, dia terpaksa berhenti sekolah bantu keluarga, sara ibu dan empat adik