MELAKA TENGAH - Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) terus menjadi pilihan ibu bapa di negeri ini untuk menghantar anak mereka berusia lima dan enam tahun mendapatkan pendidikan awal.

Pengarah JAIM, Md Azhan Samat berkata, disebabkan permintaan yang tinggi ada beberapa permohonan terpaksa ditolak pada awal tahun ini namun jumlahnya kecil dan pihaknya mahu mementingkan kualiti daripada kuantiti.

Menurutnya, walaupun terdapat tadika JAIM yang masih menyewa kerana tidak memiliki bangunan sendiri namun hal itu tidak mengurangkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak ke tadika JAIM lebih-lebih lagi ia mengguna pakai kurikulum standard selain memberi fokus pendidikan agama serta bayaran yuran bulanan berpatutan RM35.

“Ketika ini tumpuan akan diberikan terhadap menambah baik kualiti perkhidmatan pendidikan murid dan belum ada perancangan untuk membuka tadika baharu.

“Kita akan melihat permintaan masyarakat sebelum membuat keputusan menambah atau membesarkan bangunan sedia ada,” katanya selepas Majlis Khatam Quran Perdana Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM yang disempurnakan Speaker DUN, Datuk Omar Jaafar di Masjid Cina, Krubong semalam.

Md Azhan berkata, jika bilangan kanak-kanak itu berlebihan dan berlaku penambahan drastik, JAIM akan melihat alternatif untuk membesar bangunan sedia ada atau mencari bangunan lain kerana setakat ini standard kuota seorang guru kepada 10 murid.

“Masih terdapat beberapa sekolah yang terpaksa melanggarnya namun ia masih berada dalam kawalan kerana kita mengejar kualiti dan bukan kuantiti, malah pengisiannya kita akan perbaiki termasuk standard kuota guru,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 800 murid SRA JAIM menjayakan majlis khatam al-Quran beramai-ramai sempena Nuzul al-Quran.

Artikel menarik:

Daki gunung untuk hantar laporan, tindakan sekumpulan guru ini wajar dipuji

Tulisan Dr Isahak mengenai sitem pendidikan negara dan UEC - Satu pandangan yang membuka minda

Tulisan Dr. Maszlee mengenai guru dan Hari Guru ini amat menyentuh hati

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

'Saya rindu nak dengar suara ibu' - Cikgu Mazni sebak, ibu terlantar selepas terbabit kemalangan