TUMPAT - Biarpun berstatus pemanah kelab, kemahiran istimewa memanah barebow yang dimiliki seorang guru menjulang nama Kelantan di peringkat dunia.

Guru Sains dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang, Pasir Mas, Nor Hisyam Ismail muncul jaguh dunia kategori barebow sekali gus mengharumkan negara dalam Kejohanan Thailand Princess Cup Archery Tournament 13th 2019 di Bangkok, Thailand yang berlangsung 28 Jun dan berakhir Ahad lepas.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan 13 tahun selepas menewaskan pemanah dari Indonesia.

“Saya berasa cukup bangga dapat bawa nama Malaysia ke peringkat dunia meskipun masuk kejohanan memanah terbuka itu hanya mewakili negeri Kelantan kerana kami berstatus kelab.

“Saya hanya seorang pemanah dari Kelab Memanah Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian (Kemmas) 5 Arrows tetapi atas suntikan semangat daripada legenda memanah Kelantan, Azizi Che Hamid dan Presiden Kemmas 5 Arrows, Wan Mohd Hazrim Wan Hassan, saya mencuba nasib di peringkat dunia,” katanya ketika ditemui di LMA Archery Pantai Sri Tujoh di sini kelmarin.

Kejohanan tersebut melibatkan penyertaan 500 pemanah dari 10 negara antaranya dari Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, Taiwan, India dan Hong Kong.

Sementara itu, Azizi yang juga Pengerusi Pertubuhan Pemanah Tradisional Kelantan berkata, penyertaan dari Kelantan melibatkan 22 pemanah.

“Ada empat kategori dipertandingkan iaitu kategori recurve, compound, barebow dan kelainan upaya.

“Pemanah dari Kelantan menyertai semua kategori kecuali kategori kelainan upaya.

“Jumlah semua ialah 22 pemanah. Tiga daripadanya ialah pemanah cilik, lima pemanah compound dan selebihnya kategori lain,” katanya.

Baca:

Sultan Johor berkenan biaya kos perubatan pelajar SMK Dato' Bentara Dalam

Guru ini peluk murid istimewa, macam anak sendiri. Inilah dunia cikgu...

Sarawak tunggu dana Persekutuan bagi latih 3,000 guru ajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris

Guru ini perkenalkan simulasi arkeologi, bantu pupuk minat belajar

Sehingga jam 11, 11 murid dirujuk ke klinik kesihatan - Industri setuju bekal alat pengesan gas