PASIR GUDANG - Berpeluang membuat persembahan sempena program peringkat dunia menjadi pengalaman paling manis buat tiga kumpulan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana, Kota Tinggi.

Mereka terpilih mengadakan persembahan bersempena Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) Kali Ke-24 di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang.

Kumpulan Angklung, Kumpulan Kompang dan Kumpulan Tarian sekolah itu menampilkan persembahan memukau dan telah menarik perhatian ramai pengunjung dari dalam dan luar negara.

Jurulatih pasukan, Cikgu Dawiyah Ahmat, berkata, Permata Laksamana iaitu nama bagi Kumpulan Tarian SK Laksamana, Kota Tinggi mempersembahkan tarian zapin dan joget.

“Alhamdulillah, anak-anak kumpulan tarian telah beri persembahan yang begitu bagus.

“Saya harap mereka akan terus berusaha dan berjuang untuk meneruskan seni tari sehingga mereka berjaya kelak agar adat dan budaya kita tidak dilupakan oleh anak-anak muda zaman sekarang,” katanya yang juga guru prasekolah sekolah itu.

Sementara itu, Jurulatih Muzik, Ismail Hassan dari Kumpulan Angklung Seri Laksamana dan Kumpulan Kompang Sri Laksamana melahirkan rasa syukur kerana pasukannya terpilih dan diberi kepercayaan membuat persembahan.

“Bangga dan gembira sebab dapat menonjolkan bakat murid-murid sekolah dalam program peringkat antarabangsa.

“Sekurang-kurangnya, ia memberi satu pengalaman bermakna kepada peserta,” katanya.

Seramai 24 murid Tahun Dua hingga Tahun Enam SK Laksamana Kota Tinggi menyertai FLLSPG.

Mereka dipecahkan kepada tiga kumpulan iaitu Kumpulan Tarian (10 orang), Angklung (10 orang), Kompang (tiga orang) dan Nyanyian Solo seorang.

Guru Besar SK Laksamana, Bibi Sakinah Haron Khan berkata, peluang yang diberikan oleh penganjur iaitu Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) cukup bermakna buat warga sekolah.

“Kami satu-satunya sekolah dari daerah luar Pasir Gudang yang dijemput untuk membuat persembahan selama satu jam 15 minit.

“Komitmen guru, murid, ibu bapa dan juga PIBG dalam festival ini juga patut dipuji. Mereka bertungkus-lumus untuk pastikan SK Laksamana mampu beri yang terbaik untuk semua,” ujarnya.

Terdahulu, sebanyak 45 negara luar serta empat buah negara baharu termasuk Malaysia menyertai FLLSPG sejak diadakan lebih 20 tahun lalu.

Empat negara baharu itu ialah Colombia, Bulgaria, Hungary dan Venezuela.

Festival yang bertemakan keindahan budaya itu turut menyaksikan penglibatan seramai 240 peserta antarabangsa yang menyertai pelbagai kategori.

INFO

Kejayaan yang telah dicapai Permata Laksamana:

1) Pertandingan Zapin Johor Peringkat Daerah Kota Tinggi 2019 anjuran Yayasan Warisan Johor - Tempat Ke-2

2) Festival Muzik dan Seni Tari Sekolah-sekolah Rendah peringkat Negeri Johor - Johan Kategori Seni Rampai Tari

3) Pertandingan Zapin Johor - Karnival Bandaraya Prihatin Peringkat Negeri Johor - Tempat Ke-3

Warga SK Laksamana meraikan kegembiraan setelah berjaya mengadakan persembahan dengan baik di FLLSPG.

Kumpulan Angklung dan Kompang SK Laksamana yang berjaya memukau dunia.

Bibi Sakinah (kanan, belakang) bersama kumpulan zapin.

Antara murid yang terlibat membuat persembahan.

Kumpulan Angklung yang terpilih membuat persembahan sempena FLLSPG Kali Ke-24.

ARTIKEL MENARIK:

'Ukelele' penghubung Cikgu Ahmad Sobri dengan murid, serlah potensi diri

Nekad selamatkan mangsa kemalangan tahun lalu, PK SMK Dato Seth ini dianugerahkan Guru Adiwira

'Ibarat lukis atas kanvas, guru perlu sabar berdepan karenah murid' - Ini pesan Tokoh Guru 2019

Ibu ini praktik teknik asas jahitan ketika di sekolah menengah hasilkan produk kraf tangan comel

Cacat penglihatan sejak Tahun Dua tak halang Koh Chai Swee jadi pendidik... tambah pula doa ayah