SEKOLAH Seri Puteri (SSP) mengharumkan nama negara di peringkat dunia setelah berjaya membolot hampir keseluruhan pingat emas daripada empat kategori utama yang dipertandingkan dalam World Scholar’s Cup, Global Round (WSC) di Beijing, China, baru-baru ini.

Ketua kontinjen yang juga guru pembimbing, Malissa Mohd Kamal berkata, 15 pelajarnya berjaya membawa pulang 27 pingat emas dan 41 pingat perak dalam pelbagai sub kategori.

"Pertandingan itu berlangsung selama tujuh hari bermula 20 hingga 26 Jun lalu dan disertai 3,250 peserta mewakili 39 buah negara antaranya Kenya, Amerika Syarikat, United Kingdom, China, Jepun dan Korea.

"Pelajar SSP telah dipecahkan kepada dua pasukan iaitu pasukan Senior dan pasukan Junior," katanya.

Empat kategori yang dipertandingkan ialah Debat, Penulisan, Kuiz Pengetahuan Am - Individu dan Berkumpulan.

Menurut Malissa, pasukan sekolah menerima saingat sengit kerana peserta bagi setiap kategori cukup hebat dan berbakat.

“Bagi kategori Debat, SSP perlu bersaing dengan peserta dari negara Jepun, China, Bahrain, Singapura, Kenya dan Indonesia.

“Alhamdulillah, berkat doa semua SSP berjaya membawa pulang beberapa pingat emas dan perak menerusi kategori Debat Senior dan Junior,” ujarnya.  

Malissa berkata, pasukan SSP terdiri daripada pelajar Tingkatan Dua dan Tiga serta hanya seorang pelajar dari Tingkatan Empat.

“Ada sedikit debar bila melihatkan kepada pesaing yang rata-ratanya berusia 16 tahun ke atas.

“Namun, debaran itu hilang serta merta bila melihatkan pelajar saya cukup hebat ketika berada di pentas.

"Mereka mampu lalui semua empat kategori dengan mudah. Tahniah semua. Cikgu bangga dengan kamu,” katanya yang juga guru Bahasa Inggeris.

WSC merupakan satu pertandingan yang meraikan keseronokan belajar lebih daripada kemenangan itu sendiri selain menjadi platform pelajar mempamerkan kekuatan diri masing-masing di persada dunia.

Pertandingan anjuran WSC ini melibatkan 39 negara, memberi peluang kepada pesertanya untuk mengenali dan menyedari potensi diri yang mungkin tidak pernah diterokai sebelum ini.

Antara pelajar SSP yang meraih pingat emas dan pingat dalam kategori yang dipertandingkan.

Pasukan senior SSP bersama medal, dari kiri, Arissa Sahira, Danisha Sofiya, Nur Adlina Nadhirah dan Hafni Irdina.

Jadual padat, Elea Maisarah raih 13 pingat

Kata Malissa, SSP merupakan sekolah berasrama penuh dan masa untuk mengadakan sesi latihan sangat terhad kerana jadual persekolahan yang padat.

“Saya puji komitmen 15 pelajar saya. Mereka begitu bersemangat malah tidak menjadikan kepenatan ketika belajar untuk tidak menjalani latihan.

“Sebelum pertandingan, mereka memperuntukkan dua jam pada waktu petang dan dua jam pada waktu malam untuk berlatih.

“Kadang-kadang mereka akan berlatih pada hujung minggu semata-mata mahu pastikan SSP berjaya bawa pulang kejayaan,” kata Malissa.

Latihan debat dikendalikan sepenuhnya oleh bekas pendebat kebangsaan, Amshar Aziz yang merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa manakala latihan penulisan dan kuiz pula dibimbing oleh Malissa sendiri yang bertindak sebagai mentor dan pemudah cara.

Pasukan SSP cukup bertuah kerana semua tiket penerbangan dan bas mendapat tajaan hasil usaha Pengerusi Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB), Datuk Wan Jamaludin Wan Abdul Malik.  

Malissa berkata, pelajar hanya membayar RM3,500 seorang untuk ke Beijing, China.

“Selebihnya, telah ditaja dan saya selaku wakil SSP mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua, terutama Pengetua SSP Roslina Ahmad, YDP PIBG, Hasnal Hashim, guru-guru dan ibu bapa pelajar yang sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata perangsang buat anak-anak SSP.” ujarnya.

Dalam pada itu, peserta, Elea Maisarah Hafizuddin, 14 tahun muncul sebagai Peserta Terbaik Kumpulan dengan meraih 13 pingat terdiri sembilan emas dan empat perak.

Pelajar Tingkatan Dua itu juga turut dipilih sebagai Pendebat Terbaik dan seterusnya membantu pasukan Junior SSP melayakkan tempat Kategori Emas ke Tournament of Champion di Yale, November depan.

Walaupun masih terkejut dengan kejayaan yang dicapai Elea Maisarah bagaimanapun sangat gembira dengan pencapaian itu

“Terima kasih kepada pasukan yang sentiasa memberi kata-kata semangat, kerjasama dan kasih sayang hingga saya dapat 13 pingat ini,” ujarnya.

Elea Maisarah muncul sebagai Peserta Terbaik Kumpulan dengan meraih 13 pingat buat dirinya.

Dalam perkembangan lain, rombongan berpeluang melawat beberapa tempat menarik di Beijing setelah usainya pertandingan.

Antara yang sempat dilawati sepanjang seminggu berada di sana ialah Masjid Niujie, Dataran Tiananmen, Tembok Besar China, Olimpik Park dan Zoo Beijing.

Mereka juga sempat memberi sumbangan makanan kepada komuniti Islam di sana.

Beri penghargaan

Sementara itu, Roslina berkata, pencapaian pelajar SSP cukup membanggakan.

"Saya diberitahu oleh guru pembimbingnya bahawa ini kali pertama SSP berjaya ke peringkat akhir yang akan diadakan di Yale, Amerika Syarikat nanti dan pasukan yang menjulang nama sekolah dan negara di persada dunia akan kita beri penghargaan," katanya.

Tambah Roslina, komitmen pelajar dan guru yang terlibat wajar dipuji kerana sanggup menerima cabaran tersebut.

"Saya bangga dan berterima kasih kepada PIBG khususnya ibu bapa dalam kumpulan KSIB Sanggar Bahasa yang banyak memberi inspirasi kepada anak-anak ini untuk menyertai WSC.

"Pasukan sokongan ibu bapa ini bukan sahaja sanggup mencari dana untuk menampung perbelanjaan di China sahaja, tetapi mereka sanggup membantu guru menguruskan pelajar di sepanjang pertandingan di Beijing, China," ujarnya.  

Akhir sekali, Roslina berharap setiap ahli pasukan yang akan mara ke peringkat akhir nanti dapat mengkaji kelemahan dan kekuatan semasa bertanding di Beijing dan membuat persediaan yang terbaik untuk di Yale nanti.

"Kejayaan di Yale akan menjadi penanda aras kepada pertandingan ini untuk tahun hadapan dan menjadi inspirasi kepada pasukan lain untuk bertanding di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang," katanya.

Pelajar SSP yang menyertai pertandingan WSC di Beijing, China.

REAKSI

1) “Latihan yang intensif dan semangat berpasukan yang kuat, membolehkan kami rangkul kejayaan. Terima kasih tak terhingga kepada semua guru dan rakan yang terlibat. Tanpa mereka, mana mungkin SSP boleh berjaya dengan hebat." 

- Hannah Atiqah Zulhazame

Pelajar Tingkatan Dua

Lima pingat emas dan tiga pingat perak

2) “Gembira dan bangga dengan kejayaan seluruh pasukan SSP. Insya - Allah, kita akan terus merangkul kejayaan lagi di Tournament of Champion Di Yale, November depan. 

- Myra Amani Amran

Pelajar Tingkatan Tiga

Satu pingat emas dan tiga perak

INFO

Senarai pelajar SSP yang menyertai WSC di Beijing

1. Elea Maisarah Hafizuddin

2. Hannah Atiqah Zulhazame

3. Putri Maryam Inas Asmunni

4. Arisha Zafreen Sharil Izuan

5. Arissa Sahira Abdul Rahman Kamil

6. Siti Nur Azmina Mohd Hisham

7. Danisha Sofiya Mohd Nazree

8. Hafni Irdina Salahuddin Adri

9. Myra Amani Amran

10. Dhia Natasya Noorazli

11. Nur Adlina Nadhirah Rahmat

12. Nur Aishah Azhar

13. Nur Maryissha Khairul Azmi

14. Noor Athirah Fauzi Abbas

15. Aleya Natasya Abrari

 Pasukan Debat SSP bersama pasukan Kenya.

 Malissa (tiga, kanan) bersama pelajar SSP berpeluang melawati beberapa lokasi menarik di Beijing, China.

Malissa di hadapan Tembok Besar China.

Sumbangan makanan untuk masjid turut disumbangkan oleh pasukan SSP ketika mereka berada di sana.

 Pasukan SSP di hadapan Masjid Niujie.  

ARTIKEL MENARIK:

Bagi mereka yang masih kurang jelas mengenai 1BestariNet - Ini penjelasan Ketua Setiausaha KPM

Lumpuh separuh badan, bekas pelajar SMK Sungai Abong cemerlang SPM ini nekad sambung di UTHM

'Pihak sekolah, ibu bapa perlu periksa bas sebelum sewa' - PPIK

Sekolah dikelilingi alat permainan, patutlah 6.30 pagi murid dah datang - Macam dalam filem 3 Idiot!

SK Laksamana wakil Johor Pertandingan Anugerah Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2019